Selepas 28 tahun, sampai juga hajat untuk ke LIMA
Israr Khalid
Mac 30, 2019 14:33 MYT
Mac 30, 2019 14:33 MYT
Satu perasaan yang tak dapat digambarkan Rubiah Mohammad adalah apabila menjejakkan kaki buat pertama kali ke bumi Mahsuri.
28 tahun dia memendam hasrat, akhirnya tahun ini tiba rezeki untuk menghadiri Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA), yang selama ini hanya mampu disaksikannya menerusi laporan akhbar dan televisyen.
“Saya tiap-tiap tahun berangan, daripada muda sampailah ke tua, dari anak kecil sampai dah ada cucu dan sekarang sudah ada cicit satu,” katanya.
Sejak penganjuran sulung LIMA pada 1991, Rubiah sudah teringin untuk menyaksikan kehebatan pameran ketenteraan dan pertunjukan udara yang tidak pernah diadakan sebelumnya di negara ini.
Namun tak semua orang diberikan kesenangan untuk berjalan-jalan ke sana ke sini.
Kehidupannya di Johor Bahru sebagai seorang kerani ketika itu agak mencabar untuk membesarkan lapan orang anak bersama suaminya, seorang anggota tentera.
Tidak sampai hati untuk Rubiah menyampaikan hasratnya itu memandangkan pendapatan mereka cukup-cukup untuk anak-anak, maka ia terus dipendam. Tetapi ia tidak pernah hilang.
Hari ini, anak-anaknya sudah besar dan berjaya. Pada suatu hari, anak bongsunya yang kini menjadi peguam mencuit kembali impian lama ibunya dan mengajaknya ke LIMA tahun ini.
Dia dan suami bersama tiga orang anaknya terbang dari Senai pada Khamis untuk tiba di Langkawi sehari sebelum pameran dibuka kepada khalayak umum pada 29 dan 30 Mac.
“Pukul 8 pagi kami dah keluar dari tempat penginapan. Jalan sesak teruk, dah sampai kena beratur panjang pula. Nasib baik sempat masuk pukul 10 masa pertunjukan udara bermula,” ceritanya.
Setibanya di tarmac Mahsuri International Exhibition Centre (MIEC), segalanya seakan mimpi buat Rubiah.
Pada usia 74 tahun, akhirnya dia dapat menyaksikan sendiri pesawat-pesawat besar dan mendengar dentuman enjin jet yang mempamer aksi akrobatik di udara dengan mata dan telinganya sendiri.
Dia cukup teruja, adakalanya tanpa sedar dilambai pada pesawat yang sedang meluncur laju membelah langit Langkawi. Hari itu dia sangat bahagia.
“Betul orang cakap, tengok depan-depan tak sama dengan tengok di televisyen.
“Insya-Allah, kalau panjang umur, saya akan datang lagi,” katanya sambil tersenyum.