Selepas 24 jam pembedahan, kembar siam pramatang stabil

Bernama
Mac 20, 2022 04:37 MYT
Menurut Dr Noor Hisham, sebanyak tujuh beg darah termasuk komponen darah diperlukan, bagi memastikan kestabilan dan keselamatan kedua-dua bayi tersebut sepanjang pembedahan. - Facebook Hospital Tunku Azizah
KUALA LUMPUR: Pasangan kembar siam pramatang yang berjaya dipisahkan melalui satu pembedahan di Hospital Tunku Azizah (HTA), di sini pada Sabtu berada dalam keadaan stabil, namun masih memerlukan alat bantuan pernafasan.
Pakar Perunding Pembedahan Kanak-kanak HTA Datuk Dr Zakaria Zahari berkata ini kerana kembar siam tersebut adalah kategori bayi pramatang, dan kemungkinan alat bantuan pernafasan diperlukan untuk tiga hingga empat hari lagi.
"Setakat ini keadaan Alhamdulillah, baik. Kita jangka tiga atau empat hari lagi kembar siam tersebut boleh dihentikan daripada menggunakan alat bantuan pernafasan, tapi pemantauan akan dilakukan dari hari ke hari," katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.
Terdahulu HTA dalam satu kenyataan di Facebooknya memaklumkan, hospital itu mencipta sejarah buat pertama kalinya apabila berjaya melakukan pembedahan untuk memisahkan pasangan kembar siam pramatang, yang baru berusia 17 hari, pada Sabtu.
Pembedahan ke atas pasangan bayi lelaki seberat 2.7 kilogram itu terpaksa dilakukan segera, kerana komplikasi 'extrauterine twin-to-twin transfusion syndrome', meskipun pembedahan seperti itu biasanya dilakukan pada umur tiga hingga enam bulan.
Selain Dr Zakaria, pembedahan yang mengambil masa 66 minit tanpa komplikasi besar itu, turut melibatkan 12 doktor pakar pembedahan serta hampir 20 jururawat dan kakitangan Dewan Bedah Kanak-kanak HTA.
Bayi kembar berkenaan dilahirkan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh pada usia 33 minggu sebelum kes dirujuk kepada HTA.
Kejayaan itu turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, yang menzahirkan ucapan tahniah kepada hospital itu.
Mengulas lanjut, Dr Zakaria berkata selepas dihentikan alat bantuan pernafasan, pasangan kembar siam berkenaan masih perlu berada di Unit Penjagaan Rapi Neonatal (NICU) HTA dalam tempoh tidak kurang sebulan, bergantung kepada kemajuan pemulihannya termasuk perkembangan beratnya.
"Kami perlu pantau keadaan kembar siam terbabit, kerana khuatir ada masalah tertentu seperti luka pembedahan atau tidak boleh bernafas...pembedahan semula hanya dilakukan sekiranya sesuatu terjadi dekat usus seperti bocor atau berpintal, tapi sekarang selepas 24 jam pembedahan, itu tidak berlaku," katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi catatan di Facebooknya berkata pembedahan kembar siam yang bercantum pada bahagian dada termasuk bahagian hati dan usus, adalah kembar siam paling muda dibedah pada usia 17 hari.
"Pembedahan ini mengambil masa sepuluh jam. Sebanyak tujuh beg darah termasuk komponen darah diperlukan, bagi memastikan kestabilan dan keselamatan kedua-dua bayi tersebut sepanjang pembedahan.
"Tahniah dan ucapan terima kasih kepada pasukan HTA yang diketuai oleh Datuk Dr Zakaria Zahari menyelamatkan bayi kembar ini. Alhamdulilah kini bayi kembar ini berjaya dipisahkan dan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi," katanya.
-- BERNAMA
#Hospital Tunku Azizah #Pembedahan #kembar siam pramatang #Zakaria Zahari
;