Selepas 24 jam... "Alhamdulillah, tiada gejala langsung" - Dr Noor Hisham

Harits Asyraf Hasnan
Februari 25, 2021 12:23 MYT
Dr Noor Hisham berkongsi foto yang dirakamkan pada Khamis, iaitu 24 jam selepas beliau disuntik vaksin COVID-19. - Foto Dr Noor Hisham Abdullah
KUALA LUMPUR: "Alhamdulillah, tiada gejala langsung," itu respons Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah kepada Astro AWANI selepas 24 jam beliau disuntik vaksin COVID-19.
Malah, Ketua Pengarah Kesihatan itu mengakui tidak berasa sebarang perbezaan pada tubuh atau kesihatannya dan boleh melaksanakan tugasnya seperti biasa.
"Saya sihat. Tiada langsung gejala seperti demam atau sakit. Saya juga sudah kemas kini dalam aplikasi MySejahtera," katanya kepada Astro AWANI.
Beliau turut berkongsi tangkap layar kemas kini status kesihatan dalam aplikasi MySejahtera, yang merupakan sebahagian syarat kepada semua individu yang mengambil suntikan vaksin.
Dr Noor Hisham merupakan individu terawal yang mengambil suntikan vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech di negara ini pada Rabu.
Beliau bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disuntik vaksin itu di Pejabat Kesihatan Daerah Putrajaya, Presint 11, yang turut menjadi simbolik kepada bermulanya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
#Dr Noor Hisham Abdullah #Muhyiddin Yassin #COVID-19 #vaksin #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #gejala vaksin #sihat #status kesihatan selepas vaksin