Selepas 20 tahun, Anwar kembali ke Parlimen sebagai kerajaan

Harits Asyraf Hasnan
Oktober 15, 2018 09:45 MYT
Anwar mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Port Dickson di Dewan Rakyat hari ini. - Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali semula ke Parlimen sebagai kerajaan hari ini selepas 20 tahun meninggalkan institusi penggubal undang-undang itu.
Kemunculan semula beliau itu susulan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P132 Port Dickson di mana beliau menang dengan majoriti 23,560 undi Sabtu lalu.
Beliau mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.
Astro AWANI menyiarkan secara langsung majlis angkat sumpah tersebut di saluran 501 dan di Live TV astroawani.com.
Mohamad Ariff ketika mengalu-alukan Anwar mengucapkan tahniah kepada anggota Parlimen terbaharu itu atas kemenangannya di PRK Port Dickson.
"Sebagaimana yang saya ungkapkan pada hari pertama Dewan Rakyat sebelum ini, dewan ini mempunyai kedudukan tertinggi dalam menentukan undang-undang negara untuk memberi manfaat kepada rakyat.
"Dewan ini mempunyai wibawanya yang sendiri, justeru peranan Parlimen ini perlu dihayati sebaiknya," katanya sambil menambah beliau yakin Anwar mampu menjalankan tugas dengan baik dan memberi sumbangan berfaedah kepada negara.
Pada PRK tujuh penjuru itu, Anwar, 71 tahun, mendapat 31,016 undi, menewaskan calon Pas Mohd Nazari Mokhtar (7,456 undi) dan lima calon Bebas merangkumi bekas pembantu peribadi Anwar, Saiful Bukhari Azlan (82), bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad (4,230), Lau Seck Yan (214), Stevie Chan (337) dan Kan Chee Yuen (154).
PRK Parlimen Port Dickson diadakan selepas penyandang kerusi berkenaan, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi pada 12 Sept bagi memberi laluan kepada Anwar, yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan presiden PKR, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.
Kali terakhir Anwar bertanding ialah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 2013 bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh yang menyaksikan beliau menewaskan Mazlan Ismail (BN) dan Abdullah Zawawi Samsudin (Bebas) dengan majoriti 11,721 undi.
Kelayakan beliau sebagai anggota Parlimen Permatang Pauh terlucut selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun apabila rayuannya terhadap hukuman penjara pada Februari 2015 ditolak.
Bagaimanapun, beliau diberikan pembebasan serta-merta selepas mendapat perkenan pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V pada 16 Mei lalu, tujuh hari selepas PH diberi mandat memerintah susulan PRU14.
#angkat sumpah #Anwar Ibrahim #Dewan Rakyat #Malaysia Memilih #Pakatan Harapan #Parlimen #pilihan raya kecil #Port Dickson
;