Selepas 14 tahun, kapal USS Abraham Lincoln kembali ke Malaysia

Ridauddin Daud
November 23, 2024 13:26 MYT
Kapal USS Abraham Lincoln yang membawa lebih 5,000 kelasi dan pelbagai kelengkapan ketenteraan termasuk jet pejuang tiba di Pelabuhan Klang kira-kira jam 9 pagi. - Foto Astro AWANI
PELABUHAN KLANG: Kapal pengangkut pesawat kelas Nimitz, USS Abraham Lincoln (CVN 72), berlabuh di Malaysia pada Sabtu untuk lawatan pelabuhan berjadual kedua semasa penugasannya bagi tahun 2024.

Ringkasan AI
  • Lawatan Kapal USS Abraham Lincoln: Kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln berlabuh di Pelabuhan Klang, Malaysia, menandakan lawatan pelabuhan berjadual kedua semasa penugasannya bagi tahun 2024.
  • Pengukuhan Hubungan AS-Malaysia: Kehadiran kapal ini memperkukuh hubungan erat antara Amerika Syarikat dan Malaysia, berasaskan hubungan rakyat, ekonomi, dan keselamatan.
  • Aktiviti di Malaysia: Tentera di kapal tersebut akan meneroka Malaysia melalui pelbagai aktiviti seperti projek perhubungan masyarakat, sukarelawan, dan acara mendekati masyarakat.

Kapal tersebut yang membawa lebih 5,000 kelasi dan pelbagai kelengkapan ketenteraan termasuk jet pejuang tiba di Pelabuhan Klang kira-kira jam 9 pagi.
Ketibaan kapal yang dikemudi Komander Carrier Strike Group (CSG) 3, Laksamana Muda Adan Cruz itu disambut wakil dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Pertama Mohd Adzam Omar.
Lawatan tersebut merupakan kunjungan pertama kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat ke Malaysia sejak tahun 2012 yang pada ketika itu berlabuh di Sabah.
Sebelum ini, kapal sama pernah berlabuh di Pelabuhan Klang pada 2010 dan kunjungan kali ini berlaku selepas 14 tahun.
Cruz berkata, kehadiran kapal dan tentera Amerika Syarikat ke Malaysia menandakan kesinambungan hubungan erat antara kedua-dua negara, berasaskan hubungan antara rakyat, ekonomi, dan keselamatan.
Menurutnya, beliau menghargai peluang untuk mengukuhkan hubungan antara Amerika dan Malaysia sambil memberikan peluang kepada kelasi dan tentera Marin dari negara itu untuk menikmati keunikan Kuala Lumpur.
“Hubungan ini berasaskan sikap saling mempercayai, menghormati dan nilai bersama. Sebagai negara maritim, kedua-dua negara bergantung kepada laut untuk keselamatan dan kemakmuran ekonomi.
“Kami juga berkongsi komitmen terhadap rantau Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka, dan kami menyasarkan untuk terus mengukuhkan kerjasama kami pada masa hadapan,” katanya.
Tambah beliau, sepanjang berada di Malaysia, pihaknya juga akan melakukan pertemuan dengan wakil daripada Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar dari Malaysia.
Kapal USS Abraham Lincoln sebelum ini berlayar di lautan selama lebih 100 hari dan kali terakhir kapal itu berlabuh adalah di Guam, lebih tiga bulan lepas.
Dalam pada itu, Pegawai Pemerintah USS Abraham Lincoln, Pete Riebe berkata, semua tentera dalam kapal tersebut tidak sabar untuk meneroka Malaysia dan menyertai pelbagai aktiviti disediakan untuk mereka.
Menurutnya, antara aktiviti yang termasuk dalam jadual lawatan kapal tersebut adalah projek perhubungan masyarakat (Comrel) yang akan disertai oleh kelasi.
“Selain aktiviti riadah, kami akan menganjurkan beberapa program sukarelawan dan acara mendekati masyarakat.
“Ini termasuklah melawat sekolah, membantu di kemudahan penjagaan warga emas, dan menyertai solat di masjid,” katanya.
Riebe berkata penglibatan ittu membolehkan mereka berhubung dengan masyarakat tempatan dan menunjukkan penghargaan mereka terhadap layanan daripada Malaysia.
#kapal USS Abraham Lincoln #berlabuh di Malaysia #kelengkapan ketenteraan #entera Laut Diraja Malaysia #Pelabuhan Klang
;