Selenggara kenderaan dan diri sendiri sebelum balik kampung

Azyyati Ahmad
April 13, 2023 10:30 MYT
Tegas Prof Dr Kulanthayan, dengan menyelenggara kenderaan anda, banyak risiko di atas jalan raya dapat dielakkan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Penyelenggaraan kenderaan adalah satu perkara penting yang perlu dilakukan oleh pengguna jalan raya sebelum melakukan perjalanan jauh terutamanya menjelang aidilfitri nanti.
Menurut Pensyarah Fakulti Perubatan Sains Kesihatan UPM, Prof Dr Kulanthayan KC Mani, bukan sahaja kereta perlu dipastikan selamat, malah pengguna jalan raya juga perlu berada dalam keadaan sihat dan cukup tidur sebelum memulakan perjalanan.
“Supaya apabila kita dah selenggara, semasa perjalanan tak ada halangan, kalau ada breakdown semasa perjalanan maka kos untuk membaiki akan jauh lebih tinggi sebab ia berada di luar kawasan.
“Yang kedua, kos penyelenggaraan diri sendiri juga perlu diberi perhatian, maksudnya apabila kita bersedia untuk memulakan perjalanan jauh, kita kena pastikan cukup tidur beberapa hari sebelum balik kampung. Maksudnya di sini kualiti dan kuantiti tidur cukup, “ katanya.
Tambahnya lagi, itu yang dimaksudkan selenggara diri sendiri yang mana sekiranya memandu dalam keadaan keletihan ia akan mengundang risiko kepada pemandu lain, malah akan menambah kos perjalanan.
“Disebabkan kita tak cukup tidur dan mengantuk, kita akan kerap berhenti untuk berehat, dan itu akan menambahkan kos sepanjang perjalanan,” jelasnya.
Tegas Prof Dr Kulanthayan, dengan menyelenggara kenderaan anda, banyak risiko di atas jalan raya dapat dielakkan.
“Apabila berlaku breakdown, masalah bukan sahaja kepada pemandu jalan raya itu dan keluarganya malah pengguna lain yang berada di atas jalan raya, kesesakan lalu lintas juga boleh terjadi, maka lakukan semampu boleh untuk pastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum bergerak balik ke kampung halaman,” katanya.
#Prof Dr Kulanthayan KC Mani #jalan raya #penyelenggaraan kenderaan #keselamatan jalan raya
;