Selebriti lelaki miliki dadah direman 5 hari
Umavathi Ramayah
Disember 15, 2024 12:48 MYT
Disember 15, 2024 12:48 MYT
SEPANG: Selebriti program realiti komedi yang ditahan di Cyberjaya kerana disyaki memiliki ganja pada Sabtu direman lima hari bermula Ahad.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, perintah reman ke atas suspek berusia 41 tahun itu dikeluarkan di Mahkamah Majistret Telok Datok mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
“Permohonan reman ke atas suspek dibuat bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Terdahulu media melaporkan, serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang kira-kira pukul 3.10 petang di Cyberjaya.
Dalam serbuan itu, polis menemui dua paket lutsinar yang setiap satunya mengandungi leraian disyaki daun ganja anggaran berat keseluruhan 60.3 gram.
Hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan juga mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC).
Suspek bagaimanapun tidak mempunyai rekod jenayah lampau.