Selatan Global yang diperkasa tidak dapat dielakkan - PM Anwar

Bernama
Ogos 20, 2024 06:20 MYT
Malaysia percaya Selatan Global yang diperkasa tidak dapat dielakkan dan kebangkitannya akan memupuk perpaduan dalam kalangan pelbagai negara, kata Perdana Menteri Anwar. - Gambar Bernama
NEW DELHI: Malaysia percaya Selatan Global yang diperkasa tidak dapat dielakkan dan kebangkitannya akan memupuk perpaduan dalam kalangan pelbagai negara sambil mereka menerima perbezaan dan kepelbagaian yang ada, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, kebangkitan naratif Selatan Global dan keinginan yang semakin meningkat untuk penglibatan yang lebih besar dalam sistem antarabangsa telah membawa kuasa serantau ke barisan hadapan dan kuasa-kuasa yang sedang muncul ini kini mempunyai peluang untuk menggunakan pengaruh dan membentuk wacana mengenai agenda Selatan Global yang sepatutnya.
"Selatan Global mewakili satu suara yang tidak lagi boleh diabaikan dalam kemunculan aturan antarabangsa. Kemunculan Selatan Global yang diperkasa pada pandangan saya, adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan," katanya.
Anwar berkata:"Kini terdapat peluang sebenar untuk memajukan usaha menangani cabaran global mengikut terma yang kita boleh tetapkan secara rundingan bersama."
"Dan ini tentunya merangkumi isu-isu mendesak yang masih kita cari penyelesaian bersama - perubahan iklim, daya tahan rantaian bekalan, keterjaminan makanan dan tadbir urus Kecerdasan Buatan (AI)," katanya ketika menyampaikan syarahan bertajuk "Menuju Kebangkitan Selatan Global: Memanfaatkan Hubungan Malaysia-India" di Sapru House, Indian Council of World Affairs (ICWA), di sini, pada Selasa.
Anwar, yang dalam lawatan rasmi ke India dari 19 hingga 21 Ogos berkata, walaupun terdapat beberapa persepsi negatif, pergerakan Selatan Global tidak bertujuan untuk mengecualikan Utara Global.
Sebaliknya, beliau berkata, ia berdasarkan pengiktirafan terhadap pengaruh yang semakin meningkat daripada Selatan Global dan komitmen untuk bekerjasama sebagai rakan setara dalam konteks strategik yang kompleks.
"Malah, pergerakan Selatan Global berasaskan penerimaan terhadap peningkatan pengaruh kita dan keinginan untuk bekerjasama sebagai rakan setara dalam konteks strategik kita yang kompleks," katanya.
Beliau berkata, sebagai pemacu utama kemakmuran global, Selatan Global kini merangkumi kira-kira 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia dan 85 peratus daripada populasi global.
Menjelang 2030, tiga daripada empat ekonomi terbesar dunia dijangka datang dari Selatan Global, antaranya ialah India.
Selatan Global adalah istilah yang digunakan untuk menggambarkan negara-negara yang kebanyakannya terletak di Afrika, Amerika Latin, Asia dan Oceania.
Negara-negara ini secara umumnya dianggap kurang maju dari segi ekonomi berbanding dengan negara-negara di Utara Global yang merangkumi Eropah, Amerika Utara, dan sebahagian Asia Timur. - BERNAMA
#PM Anwar Ibrahim #Selatan Global #sistem antarabangsa #lawatan PM Anwar ke India
;