Selaraskan sistem FWCMS, cepatkan kemasukan pekerja asing - PAPSMA
Astro Awani
Februari 24, 2022 12:48 MYT
Februari 24, 2022 12:48 MYT
KUALA LUMPUR: Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) yang dilancarkan Kementerian Sumber Manusia (KSM) dilihat bagus dalam meningkatkan kecekapan pemprosesan dan pengurusan pekerja asing ke Malaysia.
Begitupun, Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (Papsma), Dr Sukumaran Nair berkata, majikan mendakwa mereka sebenarnya sehingga kini masih belum mempunyai maklumat mengenai operasi sistem berkenaan.
Bahkan, katanya, sistem itu juga dilihat beberapa kali mengalami gangguan susulan permohonan yang banyak dilakukan majikan pada setiap hari.
"PAPSMA menggesa supaya kementerian terlibat melakukan penyelarasan sebaiknya untuk menjayakan program ini.
"Ia adalah bagi memastikan pekerja asing dapat tiba dengan cepat dan selamat ke negara ini untuk memenuhi beribu-ribu kekosongan yang wujud dalam industri dan pasaran kerja tempatan.
"Kelewatan mungkin mengakibatkan kerugian berbilion ringgit dalam pengeluaran dan eksport negara yang akhirnya boleh memusnahkan ekonomi Malaysia yang tidak menentu sekarang," katanya dalan satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan yang mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima sebanyak 111,807 permohonan pekerja warga asing melibatkan lima sektor utama selepas mula dibuka pada 15 Februari lalu.
Saravanan berkata, permohonan itu dibuat oleh majikan untuk pekerja warga asing bagi semua sektor pekerjaan yang dibenarkan penggajian pekerja warga asing.
Dalam pada itu, Sukumaran berkata PAPSMA terkejut dengan pelantikan syarikat yang dipertanggungjawabkan mengendalikan pautan berkenaan.
"Kami amat terkejut syarikat yang merupakan syarikat kontroversi beberapa tahun lalu semasa skandal pengambilan warga asing muncul semula.
"Kali ini dalam program pengambilan semasa dengan pautan dan sistem yang sama melalui Jabatan Imigresen Malaysia untuk semua permohonan sehingga kelulusan untuk mengambil pekerja asing ke dalam negara.
"Sejak permulaan permohonan yang dibuka secara rasmi pada 15 Februari 2022, sehingga kini tiada kelulusan rasmi diberikan kepada mana-mana majikan setakat persatuan," ujarnya.
Untuk rekod, FWCMS dilaksanakan pada tahun 2013 secara 'proof of concept' (pembuktian konsep) bagi membuktikan kepada kerajaan Malaysia bahawa sistem ini boleh membanteras pemerdagangan manusia, penipuan dokumen, menjaga kebajikan pekerja dan menjaga kepentingan majikan.