Selar sokongan AS kepada Israel, 28 NGO hantar memorandum kepada Joe Biden
Fareez Azman
April 14, 2023 18:22 MYT
April 14, 2023 18:22 MYT
KUALA LUMPUR: Sebanyak 28 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menyerahkan memorandum ditujukan kepada Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden dan mendesak negara itu agar tidak menyokong pengepungan dan pencerobohan Israel ke atas Gaza dan Al-Aqsa.
Menurut Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid, memorandum terbabit sebagai amaran agar AS tidak terus bersekongkol dengan Zionis Israel.
"Kita sasar (serah memorandum kepada) Amerika Syarikat sebab AS penyebab kenapa Israel berani melakukan kezaliman ini sebab senjatanya diberi oleh Amerika, semua wang diberi Amerika.
"Sebab itu kita nak nyatakan kepada Amerika, kamu adalah negara paling hipokrit, kamu negara paling 'double standard'.
"Kamu bercakap tentang hak manusia, demokrasi, hak orang lain tapi kamu biar Israel itu menghancurkan Palestin sampai ke saat ini sudah 70 tahun lebih," jelasnya.
Tambah Mohd Azmi, AS seharusnya menolak sebarang tindakan provokasi Israel terhadap penduduk Palestin dan bukannya menjadi sekutu zionis itu.
"Kita nyatakan dalam memorandum ini, apabila kamu membiarkan Israel menyerang Masjid Al-Aqsa itu titik akhir kami boleh bersabar, kerana masjid Al-Aqsa hak mutlak untuk orang Islam.
"Kalau telah mencabulnya kamu telah bertindak ganas sampai orang sedang solat dipukul, diikat dalam masjid, tidak ada kezaliman yang dapat menyamai apa yang dilakukan Israel," katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas penyerahan memorandum terbabit kepada Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Brian Mcfeeters pada Jumaat.
Terdahulu, lebih 100 individu berkumpul di hadapan Masjid Tabung Haji di ibu negara sebelum berarak ke Kedutaan Amerika Syarikat.
Perarakan Himpunan Solidariti Al-Quds Sedunia itu bermula jam 2 petang dengan laungan takbir serta ucapan beberapa kepimpinan NGO sebelum penyerahan memorandum dibuat di Kedutaan AS.
Himpunan Solidariti Al-Quds mula dilakukan sejak awal 1980-an lalu terutama pada Jumaat minggu terakhir Ramadan setiap tahun.
Ia bagi tanda solidariti umat Islam memperingati detik Palestin mula dijajah pendatang haram Zionis di kota suci Al-Quds.