Selangor umum Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam
Hasimi Muhamad
November 10, 2023 16:27 MYT
November 10, 2023 16:27 MYT
KUALA LUMPUR: Selangor memberikan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Kali Ketiga sebanyak setengah bulan gaji, dengan minimum RM1,000 kepada semua penjawat awam Kerajaan Negeri bagi menghargai penglibatan mereka menjayakan kutipan hasil.
Menurut Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari, bantuan khas tersebut akan dibayar pada Februari tahun depan.
Jelasnya, ia bagi meringankan beban para penjawat sempena persiapan sesi persekolahan 2024 yang dijangka bermula pada Mac 2024.
"Pemberian BKK akan dilaksanakan berdasarkan pekeliling yang akan dikeluarkan oleh Bahagian Pembangunan Sumber Manusia (BPSM)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2024 bertemakan, Selangor Mandiri: Memacu Kemajuan, Memicu Perpaduan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), pada Jumaat.
Jelas Amirudin, Kerajaan Negeri sebelum ini telah menyalurkan BKK Kali Pertama sebanyak satu bulan gaji minimum RM1,000, dan ia telah dibayar sempena Hari Raya Aidilfitri yang lalu.
Sementara itu, bagi BKK Kali Kedua, insentif satu bulan gaji minimum RM1,000, dengan anggaran
implikasi kewangan sebanyak RM40.03 juta, akan dibayar pada 28 Disember 2023 ini.
Dalam pada itu, beliau berkata pertumbuhan ekonomi Selangor pada tahun ini dijangka pada kadar 4.4 peratus, dan ia selari dengan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang terkesan dengan ekonomi global.
Jelas beliau, situasi tersebut bakal memberi kesan kepada sektor pembuatan Selangor, yang diunjurkan tumbuh dengan lebih perlahan pada kadar 1.4 peratus pada tahun ini.
Katanya, pertumbuhan ekonomi Selangor pada tahun ini dijangkakan dipacu terutamanya oleh sektor perkhidmatan iaitu sekitar 5.8 peratus serta disokong oleh perbelanjaan domestik yang rancak.