Selangor tumpu pemberian vaksin di kawasan berisiko tinggi - MB Selangor

Firdaus Azil
Julai 18, 2021 13:46 MYT
Dengan Program Selvax Industri, Selvax Komuniti, PICK, PIKAS, Kerajaan Selangor kini mensasarkan 227,000 suntikan sehari. - Foto Astro AWANI
KLANG: Kerajaan Negeri Selangor bakal mengambil pendekatan membuat program pemberian vaksinasi secara terus kepada lokaliti yang dikenalpasti antara kawasan yang mencatatkan kes COVID-19 yang tinggi.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, janji temu di bawah kelolaan Program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti, dengan kerjasama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) itu mampu mempercepatkan lagi usaha mencapai imuniti kelompok, terutamanya di kawasan berisiko tinggi.
Namun, jelasnya lagi, proses pemberian vaksin hanya diberikan kepada mereka yang negatif ujian saringan, dan ia bakal meningkatkan lagi jumlah suntikan harian, dengan kerjasama PICK di bawah Kerajaan Persekutuan.
“Apa kita lakukan sekarang… semua penduduk yang kita telah saring, hampir keseluruhannya negatif ini kita vaksin. Dianggarkan 2,000 penduduk ketika itu (peringkat awal) yang kita sasarkan, namun kita letakkan syarat - misalnya dah dapat temu janji (MySejahtera) kita keluarkan, yang telah selesai dapat vaksin kita keluarkan.
“Ini sebahagian proses untuk lindungi lokaliti dan kawasan yang telah mendapat kesan daripada rebakan dalam gelombang terbaharu ini,” katanya lagi.
Amirudin berkata demikian kepada pemberita selepas selesai meninjau Program Outreach Vaksinasi COVID-19 Taman Desawan, Klang, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dengan gabungan program seperti Selvax Industri, Selvax Komuniti, PICK, termasuk Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS), Kerajaan Selangor bertekad untuk perbaharui jumlah suntikan sehingga 270,000 sehari.
“Selvax berjalan paling tidak 6,000 hingga 7,000 sehari..sama ada Selvax Komuniti atau Industi berjalan. Tapi angka itu kita terpaksa masukkan secara terus dengan pihak CITF, dan angka itu tak dapat direkodkan harian.
“Apabila kita dah aturkan dengan CITF bagaimana Selvax masukkan data secara terus tanpa perlu kita masukkan secara manual, menjelang akhir bulan ini saya percaya angka itu akan lebih baik dan tinggi,” katanya lagi.
#Amirudin Shari #Selangor #SelVAX #PICK #PIKAS #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #Program Outreach Vaksinasi #MySejahtera #imuniti kelompok #ujian saringan #COVID-19
;