Selangor timbang wujud kerangka sektor ekonomi penjagaan - Amirudin
Bernama
Oktober 30, 2023 06:10 MYT
Oktober 30, 2023 06:10 MYT
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor sedang mempertimbangkan untuk mewujudkan kerangka dan peraturan berkaitan sektor ekonomi penjagaan melibatkan kanak-kanak serta warga emas di negeri itu, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Amirudin berkata dengan adanya kerangka berkenaan ia akan mengelakkan kerjaya kaum wanita daripada tersekat berikutan tanggungjawab terhadap keluarga.
Justeru, beliau berkata menerusi kerangka itu juga akan menjadi pemangkin buat wanita untuk terus berkerjaya tanpa risau memikirkan penjagaan anak atau ibu bapa.
"Kita sewajarnya mempunyai kerangka kerana hal ini bukan perkara baharu, sebagai contoh, hari ini ibu bapa menghantar anak-anak ke pusat jagaan.
"Apabila berlaku situasi yang tidak mempunyai sokongan (keselamatan dan kewangan), wanita terpaksa berhenti dan kerjaya mereka akan tersekat kerana perlu menjaga anak, ibu bapa atau perlu sediakan kos tinggi sekiranya dihantar ke pusat jagaan formal," katanya ketika berucap pada Simposium Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor 2023 di sini semalam.
Amirudin berkata simposium itu ialah medan terbaik bagi melihat nilai dan kitaran ekonomi berkaitan sektor berkenaan ekoran kadar kelahiran yang semakin berkurang di Selangor.
"Kadar kelahiran di negeri ini semakin berkurang dengan purata 1.9 pada 2018 ekoran kebimbangan (pasangan suami isteri) terhadap kos penjagaan yang tinggi. Pada masa sama, jangka hayat penduduk di Selangor tinggi, dua tahun setengah lebih panjang daripada jangka hayat nasional," katanya.
Sementara itu, Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat negeri Anfaal Saari berkata sebagai sebuah negeri termaju, Selangor harus mengambil satu langkah ke hadapan bagi mengiktiraf sektor penjagaan sebagai segmen penting dalam pembangunan negeri selain mampu menyumbang kepada kemajuan ekonomi negeri.
"Bagi merealisasikan hasrat ini, dasar, inisiatif dan program sedia ada perlu diperhalusi, ditambah baik serta dirangka secara berstrategi, supaya aspek ekonomi dan penjagaan diintegrasikan mengambil kira golongan sasar yang pelbagai.
"Penglibatan pihak berkepentingan serta pakar bidang adalah sangat kritikal bagi membantu kerajaan negeri memformulasikan Kerangka Tindakan Ekonomi Penjagaan yang holistik dan mampan," katanya.
Anfaal berkata penganjuran simposium itu sebagai platform kepada pihak berkepentingan untuk membentuk pandangan berkenaan ekonomi penjagaan, berdiskusi tentang isu-isu berkaitan, mengutarakan idea, cadangan, hala tuju dan strategi.
-- BERNAMA