Selangor terima RM2 juta peruntukan tambahan untuk baiki jalan kampung

Bernama
Mei 12, 2023 04:00 MYT
Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan, kerajaan Persekutuan telah menyalurkan peruntukan tambahan RM2 juta kepada kerajaan negeri bagi membaiki jalan-jalan kampung di negeri itu. - Gambar fail/BERNAMA
SABAK BERNAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Jumaat mengumumkan, kerajaan Persekutuan telah menyalurkan peruntukan tambahan RM2 juta kepada kerajaan negeri bagi membaiki jalan-jalan kampung di negeri itu.
Beliau berkata, peruntukan daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah itu akan digunakan bagi membaiki jalan-jalan kampung yang mempunyai kaitan dengan kebun dan ladang di Selangor.
"Majoriti tapak-tapak (jalan) yang kita kenal pasti adalah di Sabak Bernam," katanya ketika berucap pada Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri di Dataran Tanah Lesen, Parit Baru, di sini, malam tadi, yang dihadiri kira-kira 10,000 pengunjung.
Katanya berita gembira mengenai perkara itu diterima pihaknya minggu lepas. - BERNAMA
#Selangor #peruntukan tambahan #baiki jalan kampung #Amirudin Shari
;