Selangor teliti pembinaan pusat peranginan atas tanah pertanian

Bernama
Januari 26, 2023 20:41 MYT
Penelitian itu dijalankan dalam satu jawatankuasa bersama beberapa agensi berkaitan di bawah kelolaan Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor. - Gambar hiasan
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menerusi Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) akan membuat penelitian tentang pembinaan pusat peranginan di atas tanah pertanian di seluruh negeri itu.
Pengarahnya Yusri Zakariah berkata penelitian itu dijalankan dalam satu jawatankuasa bersama beberapa agensi berkaitan di bawah kelolaan Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor.
Katanya pihak-pihak terbabit akan memberi pandangan serta mengeluarkan dasar baharu berkaitan pembinaan bangunan komersial di atas tanah pertanian.
"Selain di Batang Kali, beberapa kawasan di Kalumpang, Hulu Selangor dan sekitar Hulu Langat mempunyai banyak tanah pertanian yang dijadikan inap desa dan menjual hasil tani yang diusahakan di atas tanah tersebut.
"Dari segi kedudukan tanah pula, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) boleh mengenal pasti keadaan tanah itu sama ada baik atau tidak," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kerja Pengubahsuaian PTGS di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.
Yusri turut mengulas tentang isu status tanah di Father's Organic Farm di Batang Kali, Hulu Selangor berikutan insiden tanah runtuh, Disember lepas.
Katanya PBT dan PDT bertanggungjawab untuk mengenal pasti keadaan tanah pertanian tersebut berdasarkan ulasan teknikal daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) atau Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Tambah Yusri, PTGS berperanan untuk memberi ulasan teknikal seperti syarat-syarat yang membenarkan seseorang membina atau menjalankan kegiatan komersial atas tanah tersebut.
"Kita tertakluk kepada syarat dalam Akta 838 Kanun Tanah Negara (KTN) yang menjelaskan hanya satu perlima daripada tanah pertanian boleh digunakan untuk membina bangunan. Selebihnya perlu kekal sebagai tanah pertanian.
"Masing-masing (agensi) tertakluk kepada undang-undang sendiri dan kita akan teliti perkara tersebut dan kemukakan satu dasar (pembinaan pusat peranginan atas tanah pertanian)," katanya.
Pada 21 Dis lepas, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru negeri Ng Sze Han berkata pihak Father's Organic Farm di Batang Kali, Hulu Selangor hanya mempunyai pelan kebenaran merancang bagi menjalankan aktiviti pertanian organik.
-- BERNAMA
#Selangor #tanah pertanian #pusat peranginan #PTGS
;