Selangor tawar RM2.55 bil untuk ambil alih Splash
Syah Hairizal Kamalul Arifin
Ogos 3, 2018 15:46 MYT
Ogos 3, 2018 15:46 MYT
Isu air Selangor akhirnya berjaya diselesaikan melalui pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (Splash) dengan nilai RM2.55 bilion.
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata melalui penstrukturan baharu itu, pengurusan Air Selangor akan lebih efisien dan mampu mengurangkan kos penyelenggaran dan pembelian air sungai yang tinggi sebelum ini.
Amirudin berkata rundingan pengambilalihan yang dilakukan sejak 2017 itu akhirnya mencapai kata putus daripada kedua-dua belah pihak.
Jelasnya, dengan pengambilalihan tersebut, ia melengkapkan objektif penubuhan syarikat Air Selangor yang bertujuan meletakkan semua syarikat konsesi air di Selangor di bawahnya.
Ia akan memudahkan pengurusan air tidak hanya di Selangor malah di Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Menyentuh cara pembayaran pengambilalihan yang dipersetujui Splash, Amirudin berkata Air Selangor akan membayar pendahuluan berjumlah RM1.9 bilion dan baki pertimbangan RM650 juta akan dibayar secara ansuran dalam tempoh sembilan tahun.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian surat tawaran pengambilalihan Splash oleh Air Selangor, di Subang pada Jumaat.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman berkata proses pengambilalihan tersebut akan mengambil masa hampir dua bulan bermula Ogos.
Ia akan turut melibatkan perbincangan dengan agensi kerajaan dan Kementerian Tanah, Sumber Asli dan Alam Sekitar.
Mengulas lanjut, Suhaimi berkata hutang syarikat air terawat, Syabas yang berjumlah RM4.5 bilion dengan Splash dilupuskan secara automatik.
Ditanya mengenai adakah akan berlaku pengurangan kos dan tarif air, Suhaimi berkata pihak perlu mengadakan perbincangan khusus bersama anak-anak syarikat terlebih dahulu sebelum kenyataan dibuat.
Pada majlis penyampaian tawaran tersebut Suhaimi menyerahkan surat tawaran kepada Presiden Splash, Tan Sri Wan Azmi Wan Mahmud.
#Air Selangor
#Air Selangor Sdn Bhd
#SPLASH
#SYABAS
#Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd
#Wan Azmi Wan Hamzah