Selangor tangguh penganjuran 'Mega Job Fair 2020' hujung minggu ini

Bernama
Oktober 1, 2020 06:18 MYT
Mohd Khairuddin berkata, jumlah kes positif yang semakin meningkat sejak beberapa minggu lalu telah menimbulkan keresahan banyak pihak. - Gambar fail
SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor menangguhkan program 'Mega Job Fair 2020' dijadualkan pada Sabtu dan Ahad ini di Shah Alam Convention Centre (SACC) ke satu tarikh yang akan ditentukan kelak.
Exco Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan negeri Mohd Khairuddin Othman berkata, penangguhan berkenaan susulan peningkatan kes kumulatif COVID-19 di Selangor kepada 2,007 kes tempatan termasuk 13 kes baharu.
"Program 'Selangor Mega Job Fair 2020' yang dirancang pada Sabtu dan Ahad ini telah menerima 8,150 pendaftaran secara dalam talian.
"Namun, jumlah kes positif yang semakin meningkat sejak beberapa minggu lalu telah menimbulkan keresahan banyak pihak. Atas nasihat Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan Selangor Task Force COVID-19, program itu ditangguhkan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mohd Khairuddin turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus membuat persiapan untuk penganjuran karnival itu khususnya JobsMalaysia Negeri Selangor.
-- BERNAMA
#Selangor #kes positif #koronavirus #COVID-19 #kesihatan #Mega Job Fair 2020 #Mohd Khairuddin Othman #tangguh #sacc #shah alam #kes tempatan #Karnival Kerjaya
;