Selangor tangguh pembaharuan, permohonan lesen penjualan vape

Bernama
Januari 11, 2016 19:59 MYT
Penangguhan itu berkuat kuasa 1 Jan lepas kerana kerajaan Selangor masih mengumpulkan maklumat mengenai vape. - Gambar hiasan
Kerajaan Selangor menangguhkan pembaharuan dan permohonan lesen penjualan rokok elektronik atau vape di negeri itu sehingga keputusan sama ada ia diharamkan atau sebaliknya diumumkan.
Sehubungan itu, pihak berkuasa tempatan diarah menghentikan sementara serbuan ke atas premis-premis penjualan vape di seluruh Selangor, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Negeri Dr Daroyah Alwi.
Beliau berkata penangguhan itu berkuat kuasa 1 Jan lepas kerana kerajaan Selangor masih mengumpulkan maklumat mengenai vape dan mendapatkan pandangan semua pihak sebelum sebarang keputusan dibuat.
"Kita masih berbincang mengenai isu ini dan sedang mengumpulkan maklumat berkaitan bagi memastikan ia mencakupi segenap faktor serta implikasinya kepada masyarakat.
"Langkah ini adalah untuk memastikan keputusan yang akan dibuat dapat menjaga kepentingan semua pihak dan adil," katanya kepada pemberita ketika mempengerusikan bengkel khas bagi membincangan isu penjualan vape di sini, hari ini.
BACA: Kajian penggunaan vape dibentang ke Kabinet akhir Januari
BACA: Kedah ambil pendekatan 'tunggu dan lihat' dalam isu vape - Mukhriz
BACA: Melaka haramkan penjualan dan penggunaan vape
Bengkel selama tiga hari bermula semalam itu disertai wakil-wakil dari Jabatan Kesihatan Selangor, Jabatan Mufti Selangor, Persatuan E-Vaporizer dan Tembakau Alternatif Malaysia serta beberapa badan bukan kerajaan.
Dr Daroyah berkata tiada tempoh masa ditetapkan untuk mengumumkan keputusan itu namun, menegaskan ia akan dibuat setelah semua pihak terlibat berpuas hati dengan sesi perbincangan yang dijalankan.
Walaupun beberapa negeri lain telah mengharamkan penjualan vape baru-baru ini, katanya, kerajaan Selangor masih memerlukan masa dan tidak akan terburu-buru membuat keputusan tanpa mengambil kira kepentingan semua pihak.
"Menerusi bengkel perbincangan hari ini, segala maklumat yang kita dapat akan dirumuskan dan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk dibentang dan diteliti.
"Hasil pembentangan itu kemudian akan diumumkan Menteri Besar (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali)," katanya.
#Azmin Ali #Dr Daroyah Alwi #Selangor #vape
;