Selangor selaras bantuan banjir: "Kawasan ramai artis, ramai pula nak ke sana" - MB
Harits Asyraf Hasnan
Disember 21, 2021 18:56 MYT
Disember 21, 2021 18:56 MYT
KUALA LUMPUR: Koordinasi bantuan di negeri Selangor akan ditingkatkan apabila beberapa Exco Kerajaan Negeri diberi amanah dan mandat untuk melaksana operasi gerak kerja dan bantuan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah itu bagi mengelakan berlakunya pertindihan, kerugian atau lambakan barangan bantuan di sesuatu lokasi banjir.
"Sebagai contoh di Nanding, Hulu Langat yang teruk ketika ini seperti dibadai tsunami, jadi mungkin kami boleh ke sana esok. Kita boleh tahu berapa ramai petugas yang diperlukan.
"Mentang-mentang kawasan itu ramai artis, jadi ramai nak pergi ke sana ... kita tidak mahu perkara begitu berlaku.
"Jadi, ini adalah penting untuk kita mengagihkan kekuatan dan koordinasi pada ketika ini terutama pada hujung minggu ini," katanya pada sidang media di Bangunan SUK di Shah Alam, pada Selasa.
Beliau bagaimanapun tidak menghalang mana-mana pihak untuk menyalurkan bantuan.
Namun, beliau khuatir akan berlaku pembaziran dari segi makanan, tenaga, wang ringgit dan lain-lain sekiranya tiada koordinasi yang bersepadu.
EXCO Generasi Muda Selangor, Mohd Khairuddin Othman diberi amanah menyelaras sukarelawan dan belia.
Selain Mohd Khairuddin, beliau turut mengagihkan tugas krisis ini kepada beberapa EXCO lain seperti V Ganabatirau sebagai penyelaras bantuan kebajikan, Ng Sze Han (pembersihan kawasan banjir) dan Izham Hashim (pemulihan infrastruktur).
Jawatankuasa ini turut dianggotai Dr Siti Mariah Mahmud, Borhan Aman Shah (bantuan kesihatan), Rodziah Ismail (bantuan di pusat pemindahan sementara) dan Mohd Zawawi Ahmad Mughni (pemantauan di masjid dan surau).