Selangor sedia hadapi ulangan fenomena air laut pasang besar
Media Statement
September 21, 2016 14:41 MYT
September 21, 2016 14:41 MYT
Kerajaan Negeri Selangor bersiap sedia bagi menghadapi fenomena air laut pasang besar yang dijangka melanda semula pada pertengahan Oktober depan.
Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengarahkan agensi terbabit dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri untuk membaiki benteng yang pecah dan uzur, khususnya di kawasan yang berkemungkinan berlaku banjir kilat seperti ini.
“Mengikut ramalan kaji cuaca, insiden sama akan berlaku lagi pada pertengahan Oktober dan disusuli November serta Disember.
“Semua agensi dan JPS perlu memperbaiki benteng yang lemah supaya tidak ada lagi masalah benteng atau ban pecah masa akan datang,” katanya ketika melawat mangsa banjir di Dewan Orang Ramai Kampung Tok Muda pagi tadi.
Terdahulu, Menteri Besar menziarahi keluarga arwah Azahari Sairin, Setiausaha Majlis Daerah Kuala Selangor yang meninggal dunia semalam.
“Sumbangan arwah kepada pentadbiran negeri amat saya hargai. Semoga roh beliau dikurniakan husnul khatimah dan ditempatkan di syurga yang penuh ni'mat Allah. Al Fatihah,” katanya semasa bertemu dengan keluarga arwah.