Selangor sasar pelaburan RM50 bilion pada tahun ini
Bernama
Januari 15, 2024 13:10 MYT
Januari 15, 2024 13:10 MYT
SHAH ALAM: Selangor menyasarkan pelaburan sebanyak RM50 bilion pada tahun ini, lebih tinggi berbanding yang dicatatkan pada tahun lepas iaitu lebih RM45 bilion.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sasaran itu berdasarkan perkembangan ekonomi yang semakin baik dan mampu menambah sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sehingga 0.5 peratus pada tahun ini.
"Jika kita dapat meningkatkan 0.4 peratus hingga 0.5 peratus daripada apa yang kita sumbangkan sekarang, maknanya daripada lebih 25 peratus mungkin kepada sehingga 26 peratus sumbangan KDNK negara pada tahun ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan Amanat Tahun Baharu 2024 di Bangunan Sultan Abdul Aziz, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, beliau masih menunggu angka rasmi daripada Jabatan Perangkaan Malaysia berhubung prestasi ekonomi dan pelaburan negeri itu pada tahun lepas.
Pada 2022, Selangor mencatatkan sejarah tersendiri apabila sumbangan negeri itu kepada KDNK Malaysia melebihi satu perempat ekonomi negara iaitu pada kadar 25.5 peratus, dengan kenaikan sebanyak 0.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Mengenai perkembangan perobohan Stadium Shah Alam, Amirudin berkata, kerja-kerja pengalihan pencawang Tenaga Nasional Bhd (TNB) sedang dirancang untuk mengelak gangguan bekalan elektrik di kawasan Seksyen 13.
"Kita sedang berunding dengan TNB untuk mengalihkannya. Kalau buat baharu (pencawang), ia akan ambil masa lagi setahun, baru boleh robohkan stadium, justeru, kita alihkan dulu," katanya.
"Saya akan pastikan (perobohan) segera tetapi kita tidak boleh menggunakan peledak atau bom sebab ia akan memberikan kesan kepada kejiranan di kawasan itu, sebaliknya, dilaksanakan secara manual menggunakan peralatan mesin," katanya. - BERNAMA