Selangor sambut baik harga siling RTK Antigen Saliva - Exco Kesihatan
Ridauddin Daud
September 3, 2021 16:24 MYT
September 3, 2021 16:24 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor menyambut baik keputusan kerajaan menetapkan harga siling untuk Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen COVID-19 menggunakan sampel air liur.
Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Selangor Dr Siti Mariah Mahmud berkata, kawalan itu seharusnya dibuat bagi mengawal harga agar ia tidak terlalu tinggi.
Beliau bercakap demikian kepada media selepas menyerahkan 1,000 kit ujian kepada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Selangor di sini hari ini.
Ia merupakan sebahagian daripada 60,000 kit ujian yang diedarkan bermula Jumaat.
“Ini adalah pemberian kerajaan negeri. Selepas habis, kita boleh beli. Bila ada kawalan harga, sesetengah ADUN saya diberitahu, ada yang subsidikan untuk rakyat, mereka akan beli dan beri kepada rakyat.
“Saya pun ada perancangan dengan SelCare (Selangor Health Care). Kalau ada permintaan daripada rakyat, rakyat boleh membelinya dairpada PKM (Pusat Khidmat Masyarakat). SelCare akan beli dan jual pada harga kos sahaja.
“Hanya untuk bayar pengurusan. Kita akan dapat harga yang lebih murah daripada farmasi. Bukan nak lawan farmasi tapi untuk memberi peluang kepada rakyat kita,” katanya.
Mengambil contoh ujian saringan RTK Antigen dan RT-PCR yang tidak dikawal sebelum ini, Dr Siti Mariah berkata ia menyebabkan harganya mahal dan tidak sesuai untuk rakyat.
Sementara itu, ADUN Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze memuji tindakan kerajaan menetapkan harga siling untuk RTK Antigen menggunakan air liur namun beliau berharap ia dapat diturunkan lagi pada masa depan.
[TERKINI] PAC cadang kerajaan tetapkan harga siling pemvaksinan Sinovac
“Sekurang-kurangnya ia perlu bawah RM10, bagi sayalah, terutamanya untuk golongan B40 untuk dapatkan kit ujian itu.
“Pada masa sekarang, RM19.90, ia adalah permulaan yang bagus kerana kami juga faham, di kalangan ahli farmasi yang telah beli dengan banyak pada harga dahulu, mereka juga menghadapi masalah sekarang.
“Kami kena timbang rasa juga dari segi itu tetapi untuk pelan jangka masa panjang, saya harap ia boleh turun kurang daripada RM10,” ujarnya.
Dalam pada itu, ADUN Kota Damansara, Shatiri Mansor dan ADUN Seri Setia, Halimey Abu Bakar menyambut baik pemberian kit ujian tersebut yang diberikan kerajaan negeri.
“Kota Damansara memang menyambut baik usaha dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor. Kita harap sambutan ini perlu disambut penduduk Selangor khususnya.
“Memang kita nak membantu menangani masalah COVID-19,” kata Shatiri.
Sementara itu, Halimey memohon kepada semua penduduk terutama di kawasan Seri Setia yang sudah mendapat kit ujian untuk terus menggunakannya.
“Sekiranya bergejala positif, anda hendaklah kuarantin diri untuk beberapa hari dan kalau berasa masih tidak selesa, boleh terus ke hospital,” kata Halimey.
Pada Khamis kerajaan menetapkan harga borong dan runcit maksimum Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen COVID-19 masing-masing dikawal pada RM16.00 dan RM19.90.
Harga siling itu berkuat kuasa 5 September ini.