Selangor rancang kemuka cadangan tambah jajaran kereta api kepada MoT selepas PRN

Bernama
Ogos 5, 2023 19:52 MYT
Amirudin (tengah) hadir merasmikan MITIDAY 2023 di Dewan Raja Muda Musa, hari ini. Turut hadir Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian itu Datuk Seri Isham Ishak (kanan). -- fotoBERNAMA
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor merancang untuk membawa cadangan penambahan jajaran kereta api dari daerah Klang ke bahagian utara negeri itu kepada Kerajaan Persekutuan sebaik Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor selesai pada 12 Ogos nanti.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata kerjasama yang erat antara kerajaan negeri dan Pusat diperlukan dalam merealisasikan pelan itu, dan pertemuan segera dengan Kementerian Pengangkutan akan diadakan bagi membincangkan perkara berkaitan.
"Dari Klang ke Kuala Selangor akan ambil jarak jajaran dalam 20 kilometer (km) ke 30 km dan isu yang dibincangkan nanti adalah melibatkan tanah rezab, jajaran serta kos," katanya pada sidang selepas Majlis Perasmian Program Hari Terbuka MITI (MITI Day) 2023, di sini hari ini.
Beliau berkata jajaran itu bukan hanya dapat memendekkan perjalanan ke utara Selangor berbanding laluan jalan raya, tetapi juga akan memberi limpahan ekonomi di sekitar kawasan yang terlibat.
Bagaimanapun, katanya beliau menjangkakan projek itu bakal dilaksana pada pertengahan 2025 hingga 2026.
"Kita tidak mahu membebankan kerajaan Persekutuan, kita bagi selesai dahulu membabitkan Projek Laluan Lingkaran Transit Aliran Massa 3 (MRT3), Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang dijangka siap 2025 hingga 2027," katanya.
Semasa pelancaran Tawaran Kita Selangor oleh Pakatan Harapan dan Barisan Nasional Isnin lepas, Amirudin membentangkan janji bagi mewujudkan Jajaran Kita Selangor yang menghubungkan perkhidmatan rel di Klang ke Kuala Selangor, Tanjong Karang, dan Sabak Bernam.
Selain itu, ia juga akan menghubungkan jajaran rel di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Tanjong Sepat dan Sungai Pelek agar Wilayah Pantai Barat Selangor menjadi Koridor Perkhidmatan Rel.
Dalam pada itu, mengenai permintaan cuti khas sempena PRN, beliau berpandangan perkara itu akan membabitkan implikasi gaji atau kewangan untuk sektor awam dan swasta di saat ekonomi negara sedang dipulihkan.
"PRN ini telah dirancang lama, dan saya yakin rakyat sudah ada rencana masing-masing, lebih-lebih lagi kebanyakan pengundi adalah di sekitar Lembah Klang dan jarak masa perjalanan mereka hanya sejam ke dua jam untuk mengundi," katanya.
-- BERNAMA
#Amirudin Shari #cadangan penambahan jajaran kereta api #kerajaan Persekutuan #Klang ke Kuala Selangor
;