Selangor pertimbang tandatangan Akta 672, tangani isu sampah haram - Exco

Bernama
Mac 16, 2023 19:42 MYT
Ng Sze Han berkata dengan menandatangani akta tersebut, penguatkuasaan dan pemantauan sampah akan dilakukan.- Fail/ BERNAMA
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor sedang mempertimbangkan untuk menandatangani Akta 672 bagi menangani masalah pembuangan sampah haram di negeri ini.
Akta 672 adalah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 untuk memastikan keseragaman undang-undang dalam pengawalan dan pengawalseliaan perkara-perkara yang berhubungan dengan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru negeri Ng Sze Han berkata dengan menandatangani akta tersebut, penguatkuasaan dan pemantauan sampah akan dilakukan.
Beliau berkata penguatkuasaan itu akan dilakukan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) yang menjadi badan berautoriti tunggal bertanggungjawab ke atas pengurusan sampah berbanding kaedah sekarang di negeri ini setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bertanggungjawab terhadap kawasan masing-masing.
"Sebelum ini, jumlah kompaun terhadap pembuangan sampah haram yang termaktub di dalam Seksyen 73 Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Undang-undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap 2007 adalah sekitar RM1,000 sahaja dan ini mungkin tidak cukup menggerunkan pesalah yang membuang sampah haram.
"Ia amat berbeza berbanding Seksyen 71(8) Akta 672 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan," katanya semasa sesi penggulungan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.
Beliau berkata kerajaan negeri akan memberikan perhatian serius terhadap isu sampah dan akan segera mencari penyelesaian tuntas supaya Selangor kekal bersih dan harmoni.
Ketika ini hanya Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Perlis, Kedah serta Kuala Lumpur dan Putrajaya menguatkuasakan Akta 672.
-- BERNAMA
#Akta 672 #Exco Selangor #pembuangan sampah haram #Ng Sze Han
;