Selangor perkenalkan inisiatif KISS
Syah Hairizal Kamalul Arifin
November 3, 2017 18:35 MYT
November 3, 2017 18:35 MYT
Kerajaan Negeri Selangor memperkenalkan inisiatif baharu iaitu Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) yang akan membantu golongan ibu di negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan bahawa KISS dikhususkan kepada keluarga berpendapatan RM2,000 ke bawah.
"Setiap ibu yang layak akan menerima bantuan sebanyak RM 2,400 setahun, atau RM 200 setiap bulan.
"Melalui Kad KISS, kira-kira 30,000 golongan ibu di Selangor akan mendapat bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak dan tepung serta peralatan dan pakaian sekolah untuk anak-anak di pasaraya serta kedai runcit yang akan dikenal pasti," katanya ketika membentangkan Bajet 2018 Selangor di Shah Alam pada Jumaat.
Jelas Mohamed Azmin, pelaksanaan KISS itu adalah sebahagian daripada Inisiatif Peduli Rakyat yang akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri dengan implikasi kewangan sebanyak RM 72 juta.
Sebagai permulaan, kata beliau kerajaan negeri komited untuk memulakan inisiatif itu bagi suku tahun pertama 2018 dengan pembiayaan sebanyak RM 18 juta.
Pembentangan itu dibuat di Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor yang Ke-13 2017 di Bangunan Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.
#Azmin Ali
#golongan ibu
#Inisiatif Peduli Rakyat
#Kasih Ibu Smart Selangor
#KISS
#Mohamed Azmin Ali
#Selangor