Selangor perkenal SSOC hantar amaran awal bencana
Sinar Harian
Julai 28, 2022 08:00 MYT
Julai 28, 2022 08:00 MYT
SHAH ALAM: Rancangan Selangor Pertama (RS-1) memperkenalkan Smart Selangor Operation Centre (SSOC) yang berupaya menghantar amaran awal bencana menjelang tahun 2025.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kejadian banjir dan tanah runtuh di negeri ini sering berlaku disebabkan oleh pembangunan dan keadaan cuaca yang ekstrem.
Justeru, katanya, penambahbaikan SSOC itu diharap dapat mengurangkan risiko bencana pada masa depan.
"Selain penambahbaikan SSOC ini, RS-1 turut memberi tumpuan kepada pembangunan pelan tindakan pengurusan bencana yang menggariskan persediaan terhadap pengurusan bencana, tindak balas dan pemulihan dengan tumpuan kepada tadbir urus serta komunikasi efektif.
"Pelan penambahbaikan itu merangkumi pelaksanaan projek infrastruktur mitigasi banjir telah dikenalpasti termasuk pendalaman sungai, pembinaan dan penaiktarafan tampungan sungai dan kolam," katanya semasa pembentangan RS-1 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini pada Rabu.
Jelas beliau, perubahan iklim juga meningkatkan risiko berlakunya bencana dan ia secara tidak langsung memberi kesan terhadap rantaian bekalan yang berpotensi menjejaskan ekonomi Selangor amnya.
Tambahnya, RS-1 juga mengambil beberapa pendekatan strategik untuk memajukan kelestarian di negeri Selangor.
"Peralihan kepada pendekatan yang lebih lestari diperlukan pada setiap masa dalam membuat keputusan bagi meningkatkan keutamaan alam sekitar yang lestari dan berlandaskan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Amalan Tadbir Urus (ESG)," ujarnya.
Amirudin memberitahu, lima sektor tumpuan akan menyokong pembangunan kelestarian negeri telah dipilih berdasarkan keadaan alam sekitar negeri dan global, status terkini dan penyelidikan mengenai penambahbaikan yang diperlukan untuk menyelaraskan objektif tersebut dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
"Lima sektor tumpuan itu merangkumi daya tahan dan pengurusan bencana, pengurusan air, negeri rendah karbon, pengurusan sisa dan biodiversiti dan sumber asli," katanya. -Sinar Harian