Selangor negeri pertama siri Jelajah Madani peringkat negeri - Fahmi
Bernama
Januari 3, 2024 18:20 MYT
Januari 3, 2024 18:20 MYT
PUTRAJAYA: Selangor akan menjadi negeri pertama sebagai hos bagi siri Jelajah Madani peringkat negeri, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Kabinet hari ini bersetuju untuk melakukan Jelajah Madani bagi peringkat negeri, selepas kejayaan penganjuran Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Disember lepas.
"Kita akan umumkan, mungkin minggu depan mengenai tarikh dan lokasi program ini," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Pada 10 Dis lepas, Fahmi dilaporkan berkata penganjuran Jelajah Madani akan diadakan di peringkat negeri dan mencadangkan semua kementerian untuk turut serta mempamerkan inisiatif serta pencapaian kerajaan yang khusus bagi negeri berkenaan.
-- BERNAMA