Selangor nafi keluar notis nyahwarta HSKLU untuk pembangunan

Bernama
Februari 10, 2023 22:41 MYT
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari (kiri) semasa sidang media selepas melawat pelan pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam di sebuah pusat membeli-belah hari ini. - Foto BERNAMA
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menafikan telah mengeluarkan notis penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) untuk tujuan pembangunan bercampur di kawasan tersebut sebagaimana tular di media sosial baru-baru ini.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata pihaknya sebelum ini pernah mengemukakan rancangan pembangunan di kawasan hutan simpan berkenaan, namun ia telah dibatalkan agar hutan itu dapat digazetkan.
Beliau berkata notis dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) itu mungkin diulang siar untuk memanipulasi pihak tertentu berkenaan isu pewartaan hutan simpan tersebut.
"Saya kurang pasti (isu notis nyahwarta hutan tular) tapi seingat saya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor sudah jelas bahawa kita nak gazetkan semula kawasan HSKLU," katanya kepada media selepas meninjau ruang pameran Pelan Pembangunan Semula Kompleks Sukan Shah Alam di SACC Mall hari ini.
"Tak timbul isu-isu itu, macam isu Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dalam kawasan Taman Negeri Selangor sebelum ini kita dah selesaikan, kita dah ambil tindakan, pihak pemaju juga dah buat kenyataan. Tapi kadang-kadang (ada pihak) nak manipulasi, nak buat macam mana," katanya.
Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata 95 peratus daripada 10,000 pengunjung yang hadir secara fizikal ke pameran Pelan Pembangunan Semula Kompleks Sukan Shah Alam di SACC Mall, di sini bersetuju dengan cadangan reka bentuk awal kompleks sukan berkenaan.
Beliau berharap kerja pecah tanah dapat dilakukan pada suku pertama tahun ini dan pembinaan kompleks tersebut perlu seiring dengan operasi Transit Aliran Ringan (LRT) berdekatan kawasan tersebut yang dijangka beroperasi tahun hadapan.
-- BERNAMA
#Hutan Simpan Kuala Langat Utara #Amirudin Shari #Selangor #notis penyahwartaan HSKLU
;