Selangor mulakan pengurangan air di empangan sebagai persediaan hadapi MTL - Exco

Bernama
September 3, 2024 14:43 MYT
Izham berkata inisiatif yang akan berakhir pada 30 Sept itu nanti melibatkan tujuh empangan di bawah seliaan LUAS. - Foto Bernama
SHAH ALAM: Kerajaan negeri menerusi Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memulakan strategi pengurangan kapasiti simpanan air empangan melalui pelepasan air secara optimum pada 16 Ogos lepas sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November ini.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor Izham Hashim berkata inisiatif yang akan berakhir pada 30 Sept itu nanti melibatkan tujuh empangan di bawah seliaan LUAS bagi tujuan pengurangan kapasiti simpanan sehingga 90 peratus, kecuali bagi empangan Klang Gates ke tahap 85 peratus.
"Strategi ini bagi menyediakan ruang yang mencukupi untuk kesemua empangan dengan tujuan kesiapsiagaan sekiranya menerima kadar intensiti hujan yang tinggi dan mengelak limpahan air empangan, yang berpotensi menyebabkan kesan banjir di bahagian hilir.
"Kawalan pelepasan air empangan ini akan disemak semula berdasarkan perubahan cuaca yang dijangka bermula 1 Okt, memastikan parasnya tidak melebihi simpanan 95 peratus bagi semua empangan kecuali empangan Klang Gates pada tahap kapasiti 90 peratus sebelum 15 Dis," katanya dalam kenyataan hari ini.
Izham berkata berdasarkan rekod pemantauan kapasiti semasa empangan negeri, LUAS mendapati berlaku peningkatan empat peratus terhadap kapasiti simpanan air empangan Klang Gates berikutan hujan lebat pada 12 Ogos lepas, namun ia tidak mengakibatkan limpahan di empangan itu.
Beliau berkata sebarang pelepasan air empangan dilaksanakan secara berperingkat dan dikawal rapi oleh pihak Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dan Jabatan Pengairan dan Saliran bagi kesemua empangan yang terlibat dengan mengambil kira trend paras air sungai semasa serta ramalan cuaca dalam tempoh tujuh hari ke hadapan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.
"Sehubungan itu, tiada pelepasan akan dibuat sekiranya paras air sungai menunjukkan trend meningkat serta hujan yang lebat di kawasan hilir," katanya.
-- BERNAMA
#Kerajaan Negeri Selangor #monsun timur laut #pelepasan air secara optimum #empangan #izham hashim #MetMalaysia #LUAS #banjir
;