Selangor mohon penerima SelVAX dibenar guna sementara sijil digital SELangkah

Bernama
September 8, 2021 18:27 MYT
Langkah berkenaan dilakukan susulan aduan yang dikemukakan sebilangan penerima vaksin SelVAX yang masih belum memperoleh sijil vaksin digital di aplikasi MySejahtera. - SELangkah
SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor sudah memohon kepada Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) agar penerima vaksin di bawah program Vaksin Selangor (SelVAX) diberi kebenaran menggunakan sijil vaksinasi digital SELangkah buat sementara waktu.
Pejabat Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri dalam kenyataan memaklumkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin bersetuju untuk membawa cadangan itu ke mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini, dan kerajaan negeri masih menunggu maklum balas terhadap cadangan berkenaan.
"Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam (Dr Siti Mariah Mahmud) telah memohon penjelasan daripada CITF dan dimaklumkan bahawa pihak MIMOS menghadapi masalah teknikal dalam mengintegrasikan sebahagian data penerima vaksin SelVAX ke dalam sistem MySejahtera.
"Pihak MIMOS memaklumkan bahawa proses tersebut memakan masa dan tidak dapat memberi kepastian bilakah isu ini akan diselesaikan," menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan tersebut, langkah berkenaan dilakukan susulan aduan yang dikemukakan sebilangan penerima vaksin SelVAX yang masih belum memperoleh sijil vaksin digital di aplikasi MySejahtera.
"Setakat semalam, SELangkah telah menghantar sejumlah 159,919 rekod penerima yang lengkap dua dos vaksin SelVax kepada pasukan MySejahtera.
"Menurut rekod SELangkah, sebanyak 3,632 aduan telah diterima daripada mereka yang masih belum memperoleh sijil vaksinasi digital MySejahtera dan dikhuatiri angka sebenar lebih ramai," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#MySejahtera #vaksin #SelVAX #SELangkah
;