Selangor lapor satu kes kluster ILI di sekolah berasrama penuh di Gombak

Bernama
Jun 21, 2022 21:37 MYT
Kluster tersebut dikesan apabila PKD Gombak menerima notifikasi kes pertama dari fasiliti kesihatan swasta, mengenai kejadian seorang pelajar yang didapati positif Influenza A. - Gambar hiasan
SHAH ALAM: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan satu kejadian kluster 'Influenza-Like-Illness' (ILI) yang melibatkan sebuah sekolah berasrama penuh di daerah Gombak, dilaporkan telah dikesan pada 19 Jun lepas.
Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata kluster tersebut dikesan, apabila Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Gombak menerima notifikasi kes pertama dari fasiliti kesihatan swasta, mengenai kejadian seorang pelajar yang didapati positif Influenza A.
"Kes tersebut mula mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan pada 17 Jun," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata siasatan mendapati secara keseluruhan, terdapat sejumlah 226 orang pelajar mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk, selesema, dan sakit tekak, dengan enam orang pelajar telah disahkan positif jangkitan Influenza A dengan kadar serangan jangkitan 32.7 peratus.
Beliau berkata sehingga kini, hanya seorang pelajar positif Influenza A dimasukkan ke pusat perubatan swasta untuk pemerhatian dan berada dalam keadaan stabil, manakala pelajar lain dirawat sebagai pesakit luar.
Dr Sha'ari berkata ujian COVID-19 yang dijalankan ke atas sejumlah 69 pelajar bergejala mendapati kesemuanya negatif.
Menurutnya ILI merupakan suatu sindrom jangkitan saluran pernafasan akut seperti demam tinggi, batuk sakit tekak, sakit kepala, sakit dan lemah otot atau sendi, disebabkan oleh jangkitan pelbagai jenis virus respiratori, seperti virus Influenza A, virus Influenza B, virus 'Human parainfluenza' dan virus 'Respiratory Syncytial' (RSV).
"Penularan jangkitan biasanya berlaku melalui titisan cairan pernafasan yang mudah tersebar di ruangan yang sesak, ventilasi yang kurang baik serta di tempat-tempat yang berisiko berlaku sentuhan fizikal," katanya.
Dr Sha'ari berkata gejala yang dialami biasanya berlarutan selama beberapa hari dan akan sembuh secara sendiri dengan perawatan sokongan seperti rehat yang mencukupi, pengambilan ubat-ubatan seperti ubat demam dan ubat batuk, serta pemakanan dan hidrasi yang mencukupi.
Susulan itu antara langkah-langkah kawalan dan pencegahan yang telah diambil oleh PKD termasuk bekerjasama dengan pihak pentadbiran sekolah, bagi menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan penyakit berjangkit seperti pengesanan dan pengasingan kes, serta perawatan awal di sekolah.
Selain itu, PKD Gombak juga membantu pihak sekolah membuat pemantauan kes yang menjalani pengasingan di sekolah dan merujuk kes yang memerlukan rawatan lanjut ke hospital; membantu menjalankan aktiviti disinfeksi serta aktiviti pendidikan kesihatan berkaitan pencegahan penularan kluster ILI.
"JKNS akan terus memantau situasi dan tren kejadian ILI di Selangor, serta bekerjasama dengan pihak yang berkaitan, bagi memastikan langkah-langkah kawalan dan pencegahan dijalankan dengan sewajarnya," katanya.
-- BERNAMA
#kes ILI #JKNS #sekolah berasrama #Gombak
;