Selangor lancar Skim INSAN Takaful

Hasimi Muhamad
Ogos 4, 2023 14:40 MYT
Amirudin (tengah) ketika melancarkan Tekad Insan #Kita Selangor di Bangi pada Jumaat - Foto/AWANI/Shahir Omar
BANGI: Kerajaan Selangor melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) memperkenalkan Skim INSAN Takaful yang menyediakan pelan perlindungan kepada tiga juta rakyat negeri itu.
Ia melibatkan nilai perlindungan berjumlah RM30 bilion dengan kos sebanyak RM9.54 juta.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata skim tersebut merupakan kesinambungan daripada Skim INSAN konvensional yang diperkenalkan tahun lalu.
Jelas beliau, sebagai badan korporat yang mendukung inisiatif Kerajaan Selangor, MBI amat komited menjadikan negeri ini sebagai contoh melalui pelbagai aspek dan sudut, demi kesejahteraan rakyat.
“Permohonan perlindungan insurans tersebut dibuka semula kepada semua rakyat Selangor yang memberi perlindungan sehingga RM10,000 untuk kematian dan hilang keupayaan kekal yang disebabkan oleh kemalangan.
“Di samping itu, terdapat tambahan tuntutan sebanyak RM1,000 bagi kes tuntutan yang melibatkan kematian untuk tujuan pengebumian,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Tekad Insan #Kita Selangor, di sini pada Jumaat.
Amirudin berkata, pada 2022 Kerajaan Negeri telah memperkenalkan program Perlindungan Insurans Am (INSAN), yang sehingga kini lebih lima juta rakyat Selangor menerima sijil perlindungan masing-masing.
Ujar beliau, pihaknya menyasarkan baki kurang daripada sejuta lagi pemohon bagi Skim INSAN akan turut serta mendaftar.
"Insya-Allah langkah yang dilaksanakan ini sekali gus meninggalkan serta membuang sebarang keraguan-keraguan berkenaan hasrat atau program Kerajaan Negeri, dan insya-Allah program ini (Skim INSAN Takaful) menurut jalur-jalur yang telah ditetapkan oleh syariah.
"Program ini juga sudah pasti akan menjadi satu lagi contoh bagaimana sebuah Kerajaan Negeri yang efisen, bertanggungjawab dan berjaya melaksanakan tanggungjawab serta tugasan yang sewajarnya iaitu sebuah pentadbiran dan kerajaan yang melindungi dan menjaga rakyatnya di segenap segi, aspek serta membangunkan negeri," tambah Amirudin.
Dalam masa sama, menurut Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Norita Mohd Sidek Skim INSAN Takaful turut ditambah baik meliputi perlindungan kemalangan di luar negara dan kemasukan wad di hospital kerajaan ataupun swasta akibat kemalangan.
Ujarnya, rakyat Selangor beragama Islam yang sebelum ini telah berdaftar dan dilindungi oleh polisi konvensional akan dilindungi secara automatik ke polisi takaful selepas tamat tempoh perlindungan.
"INSAN takaful memberikan perlindungan di mana khas untuk takaful kita ada perlindungan jika kematian di luar negara, akan diberikan RM20,000 seorang, dan ini tidak ada di dalam konvensional.
"Kedua, jika kemasukan wad, kita akan memberikan RM50 sehari," katanya.
Sementara itu, waris penerima INSAN Takaful, Ana Maria Salihuddin, 36, berkata inisiatif tersebut meringankan beban dia dan keluarga selepas kehilangan kedua-dua ibu bapanya akibat kemalangan pada 4 Mac lalu.
"Alhamdulillah inisiatif ini membantu meringankan beban kami sekeluarga sebab mak dan ayah pergi serentak.
"Jadi kita anak-anak ini macam hilang tempat bergantung. Sekurang-kurangnya dengan bantuan ini, kita adik-beradik dapat meneruskan lah apa-apa yang tergantung (urusan keluarga)," katanya.
Seorang lagi waris, Suzana Sueb, 41, yang tidak dapat menahan sebak mengenangkan kehilangan adiknya akibat kemalangan jalan raya pada Mei lalu berkata, walaupun ia tidak mampu mengembalikan Allahyarham tetapi skim tersebut sedikit sebanyak memberi memberi manfaat buat mereka sekeluarga.
"Alhamdulillah dapat insurans ini memang tak sangka, dan dapat juga meringankan beban untuk keluarga. Alhamdulillah
"Masa adik meninggal, ketua kampung ada beritahu untuk kita datang dapatkan khairat kematian dan diberitahu ada skim ini. Jadi kami memohon dan dapat insurans ini," tambahnya.
Pendaftaran baharu INSAN Takaful boleh dibuat pada 4 Ogos, dengan tempoh perlindungan adalah selama dua belas bulan dari tarikh pendaftaran dan pengaktifan polisi.
Untuk menyemak kelayakan dan pendaftaran baharu, rakyat Selangor digalakkan memuat turun aplikasi Wavpay e-Wallet atau layari laman sesawang www.programinsan.com untuk maklumat lanjut.
#Skim INSAN Takaful #Amirudin Shari #Inisiatif Kerajaan Selangor #Permohonan INSAN Takaful
;