Selangor lancar 'Ehsan Mart', tawar harga lebih murah

Bernama
September 8, 2024 18:40 MYT
Amirudin (tengah) membeli belah di Ehsan Mart pada Majlis Perasmian Pembukaan Ehsan Mart dan Kenduri Rakyat Dewan Undangan Negeri Sungai Tua di Jalan Dataran Selayang hari ini. -Bernama
KUALA LUMPUR: Selangor melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) hari ini melancarkan pembukaan pasar raya 'Ehsan Mart' yang menawarkan harga barangan asas pada kadar 10 hingga 15 peratus lebih rendah berbanding di pasaran.

Ringkasan AI
  • Selangor melalui PKPS melancarkan pasar raya 'Ehsan Mart' yang menawarkan harga barangan asas 10 hingga 15 peratus lebih rendah daripada pasaran.
  • Ehsan Mart adalah kesinambungan daripada program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) untuk memastikan rakyat mempunyai akses kepada barangan keperluan asas pada harga berpatutan.
  • PKPS merancang membuka 56 cawangan Ehsan Mart di seluruh kawasan DUN Selangor dalam tempoh tiga tahun akan datang, dengan keutamaan kepada lokasi berhampiran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM).

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata pembukaan pasar raya itu kesinambungan daripada program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) anjuran PKPS sejak Ogos 2022 supaya rakyat mempunyai akses kepada barangan keperluan asas pada harga berpatutan.
"Ehsan Mart diperkenalkan sebagai platform jualan yang lebih sistematik dan mampan susulan penerimaan maklum balas sangat positif daripada rakyat.
"Sejak pelancaran JER, lebih 4,000 lokasi di seluruh Selangor telah dilawati dengan jumlah perbelanjaan subsidi sebanyak RM58.7 juta," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Ehsan Mart pertama di Selayang dekat sini hari ini.
Amirudin berkata pewujudan Ehsan Mart itu selari dengan usaha kerajaan negeri untuk sentiasa proaktif dalam menangani isu kenaikan harga barang dan keselamatan makanan.
"Ehsan Mart diharap dapat menjadi pendekatan strategik untuk mendekati rakyat serta membantu meringankan beban kos sara hidup ... ," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Datuk Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata agensi berkenaan merancang membuka 56 cawangan Ehsan Mart di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Beliau berkata keutamaan diberikan kepada lokasi yang berhampiran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) sesuai dengan fungsi Ehsan Mart sebagai platform strategik mengedarkan barangan keperluan asas dengan pantas dan berkesan serta memudahkan hal ehwal pengurusan.
"Ehsan Mart juga akan berfungsi sebagai pusat agihan makanan sekiranya berlaku bencana atau keadaan darurat. Ehsan Mart akan dikendalikan oleh anak syarikat PKPS iaitu PKPS Ehsan Agrotech Sdn Bhd (PEASB)," katanya.
PKPS ialah anak syarikat kerajaan negeri yang ditubuhkan di bawah Enakmen No.12 1972 (pindaan 1976, 1982, dan 2005), bertanggungjawab memacu sektor pertanian dan agromakanan sejajar perkembangan sosioekonomi rakyat melalui pelbagai projek komersial serta tanggungjawab sosial dan korporat yang berimpak tinggi.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi PKPS atau platform media sosial di Facebook.
-- BERNAMA
#Amirudin Shari #Ehsan Mart #Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor #pasar raya
;