Selangor laksana langkah pencegahan banjir
Sinar Harian
Januari 8, 2023 07:45 MYT
Januari 8, 2023 07:45 MYT
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor sudah mengaktifkan langkah-langkah pencegahan banjir sama ada pelaksanaan segera, jangka masa pendek dan panjang sejak November tahun lalu.
Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim berkata, perkara itu diselaraskan dengan semua agensi diketuai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Kerajaan negeri sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk banjir kilat pada setiap masa terutama daripada bulan November hingga Februari setiap tahun," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Izham memberitahu, antara persediaan dilaksanakan adalah bagi memastikan setiap parit dan kolam takungan diselenggara dan dibersihkan selain menyediakan pam tambahan di kawasan rendah.
"Selain itu, projek tebatan banjir semua berjalan dengan baik dan merupakan penyelesaian jangka panjang," jelas beliau.
Izham menambah, semua perancangan dan persediaan itu dilakukan berikutan perubahan cuaca tidak menentu pada masa ini hingga Februari depan.
"Sepanjang tempoh itu juga, negara mengalami musim tengkujuh disertai hujan berterusan," katanya.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada Sabtu mengeluarkan notis ramalan banjir kilat yang dijangka melanda enam negeri melibatkan Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Perak, Kuala Lumpur dan Selangor.
JPS dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan maklumat ramalan hujan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), sistem Southeastern Asia-Oceania Falsh Flood Guidance System (SAOFGGS) dan model ramalan banjir JPS Malaysia mengesahkan terdapat risiko banjir kilat di beberapa lokasi sekiranya berlaku hujan lebat berterusan.
Tiga daerah di Selangor berisiko mengalami banjir kilat iaitu di Sepang, Petaling dan Kuala Selangor. -Sinar Harian