Selangor laksana kempen Earth Hour Sabtu ini
Bernama
Mac 22, 2022 12:29 MYT
Mac 22, 2022 12:29 MYT
SHAH ALAM: Kempen Earth Hour di Selangor akan menyaksikan lampu elektrik yang "fungsinya bukan penting" di bangunan-bangunan pejabat, premis-premis perniagaan dan kediaman, dipadamkan selama sejam bermula pukul 8.30 malam pada hari Sabtu ini.
Exco Pelancongan dan Alam Sekitar negeri Hee Loy Sian berkata kempen anjuran kerajaan negeri itu bertujuan menyokong usaha-usaha ke arah kelestarian alam sekitar dan merealisasikan agenda Selangor untuk menangani kesan perubahan iklim.
"Kerajaan negeri turut berhasrat menjadikan Kempen Earth Hour sebagai acara tahunan dalam memupuk kesedaran rakyat mengenai perubahan iklim dan alam sekitar yang sedang dialami di seluruh dunia," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kerajaan negeri berharap Kempen Earth Hour dapat diaplikasikan dan dilaksanakan oleh semua rakyat Selangor agar dapat bersama-sama dengan masyarakat global dalam usaha untuk menjaga alam sekitar serta mewujudkan dunia yang lebih mampan sekali gus memberikan impak positif kepada perubahan iklim negara.
Justeru katanya demi keselamatan orang awam dan pengguna bangunan, hanya lampu-lampu exterior (lampu perhiasan), lampu yang tidak digunakan akan dipadamkan, dan ia bukanlah blackout sepenuhnya.
"Lampu-lampu keselamatan perlu dipasangkan mengikut keperluan bangunan masing-masing dalam memastikan keselamatan awam di kawasan bangunan," katanya.
Hee berkata kerajaan negeri mengarahkan semua jabatan dan agensinya serta pengurusan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya menyertai kempen Earth Hour pada hari berkenaan.
"Bangunan-bangunan kerajaan negeri dan lain-lain bangunan yang di bawah seliaan PBT adalah digalakkan turut serta dalam kempen ini, dan kerajaan negeri turut mengalu-alukan penyertaan sektor swasta dan organisasi lain," katanya.
-- BERNAMA