Selangor komited lahirkan generasi wanita sebagai prospek pemimpin
Raja Hisyam Raja Zaid
Februari 19, 2022 14:36 MYT
Februari 19, 2022 14:36 MYT
SHAH ALAM: Usaha untuk memperkasakan golongan wanita di Selangor sehingga ke tahap yang mampu melahirkan generasi pemimpin menerusi Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) semakin membuahkan hasil.
Menurut Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita & Keluarga Negeri Selangor Dr Siti Mariah Mahmud, graduan-graduan yang dilahirkan oleh AKW kini mula mendapat tempat di pelbagai lapangan sama ada politik, pertubuhan atau persatuan malah di peringkat komuniti.
“Saya melihat semangat untuk wanita terlibat untuk berada pada tahap atau tempat yang layak membuat keputusan ini bukan setakat jadi orang politik sahaja tetapi juga yang lain seperti ketua kampung, jadi ahli MPKK, jadi ahli majlis, jadi ahli JKP dan sebagainya.
“Dengan penglibatan wanita dalam semua organisasi membuat keputusan mereka ini akan membawa suara wanita,” jelasnya selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen AKW Kohort 1 & 2 2022 di Shah Alam pada Sabtu.
Tambahnya, bagi memastikan pelapis kepimpinan yang ada mempunyai kualiti, golongan muda dari kalangan wanita di Selangor perlulah dibekalkan ilmu yang mencukupi bagi memastikan ia seiring dengan keperluan semasa.
Ia bagi menjamin setiap aspirasi dan masalah wanita yang diketengahkan mampu ditangani dengan lebih efektif serta memiliki kualiti kepimpinan yang berdaya saing.
Pada majlis tersebut seramai 180 penuntut Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) berjaya menamatkan pengajian mereka.
Program Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) Selangor dilaksanakan menggunakan kaedah modular iaitu pembelajaran dibuat melalui empat modul utama yang merangkumi 13 subjek.
Setiap penuntut AKW akan diserapkan dengan nilai kepimpinan, kefahaman gender, kemahiran insaniah, kemahiran organisasi dan kepimpinan politik.
Penubuhan AKW dilihat mampu menjadi tunjang dalam melahirkan pemimpin demi mencapai penglibatan 30 peratus pemimpin wanita sebagai pembuat dasar dan keputusan dalam kerajaan negeri Selangor.
Sasaran AKW adalah menjadi sebuah institusi yang mampu melahirkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada pesertanya mampu memegang jawatan kepimpinan dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang.
Manakala 10 peratus peserta lepasan AKW mampu tercalon untuk mengisi jawatan kepimpinan parti atau organisasi penting di Selangor.