Selangor komited banteras dadah, jadi negeri perintis perkenal aplikasi i-Pulih
Astro Awani
April 9, 2021 17:13 MYT
April 9, 2021 17:13 MYT
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor komited dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah dengan menjadi negeri perintis pelaksanaan sistem pendigitalan pengurusan klien (penagih dadah) dengan menggunakan aplikasi i-Pulih.
Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Nor Azmie Diron berkata, program itu merupakan antara rawatan psikososial menggunakan Modul Kepimpinan Kendiri (SLC) yang dijayakan menerusi kerjasama antara pihaknya, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).
Katanya, aplikasi itu juga berupaya meningkatkan kadar pemulihan penagih dadah di negeri tersebut.
“Saya mengharapkan dengan pelancaran aplikasi i-Pulih ini, AADK bersama UPM dapat mencungkil dan menggilap bakat serta potensi sebenar diri klien.
“Melalui pendekatan Transformasi Pendigitalan Program Rawatan i-Pulih ini juga diharapkan lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi-agensi kerajaan di negeri ini tampil dalam usaha membasmi penyalahgunaan dadah,” katanya kepada pemberita di sini, pada Jumaat.
Terdahulu beliau menyaksikan majlis menandatangani Surat Pertukaran Niat (LOI) antara AADK yang diwakili Ketua Pengarahnya, Sutekno Ahmad Belon manakala UPM diwakili Timbalan Naib Canselor Penyelidikan Dan Inovasi UPM, Prof. Datuk Zulkifli Idrus.
Dalam pada itu, Nor Azmie menambah, pelancaran transformasi pendigitalan program rawatan dan pemulihan serta aplikasi i-Pulih itu merupakan bukti kerajaan negeri sentiasa komited dan memberikan sokongan jitu kepada AADK, khususnya dalam usaha melaksanakan program pencegahan dadah.
"Selain itu, program penguatkuasaan dadah serta program rawatan dan pemulihan dadah juga antara yang diberi perhatian semua bagi memastikan usaha membasmi gejala penagihan dadah dapat dilakukan dengan lebih komprehensif
"Ia selaras dengan matlamat kerajaan negeri yang mahu menjadikan Selangor sebagai negeri pertama yang melaksanakan sistem pendigitalan menerusi program pemulihan dadah di negara ini," ujarnya.