Selangor kesan 50 kes pencemaran sumber air

Sinar Harian
Julai 27, 2024 09:10 MYT
Kira-kira 50 kes pencemaran sumber air dikesan berlaku di Selangor sepanjang tahun ini. - Gambar hiasan
SHAH ALAM: Kira-kira 50 kes pencemaran sumber air dikesan berlaku di Selangor sepanjang tahun ini.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, sebahagian besar kes pencemaran itu bagaimanapun tidak menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA).
Tegas beliau, pihak terlibat boleh disiasat mengikut Seksyen 79(1) Enakmen LUAS 1999 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM200,000 dan maksimum RM1 juta serta mandatori penjara tidak melebihi tiga tahun jika disabitkan kesalahan.
"Oleh itu, saya perlu dapatkan maklumat daripada agensi berkaitan sama ada kes ini disiasat mengikut enekmen tersebut atau pun sebaliknya meskipun kes terbabit tidak menyebabkan gangguan bekalan air," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Karnival Santai, Sihat dan Sejahtera (3S) di Pengkalan Sabak di sini pada Sabtu.
Jamaliah berkata, pelaksanaan enekmen yang memberi hukuman lebih berat itu berjaya mengurangkan kes pencemaran sumber air berbanding tahun sebelumnya.
"Kes pencemaran air ini sememangnya berlaku, cuma tidak diuar-uarkan kepada orang awam, sebaliknya pihak terlibat seperti JAS (Jabatan Alam Sekitar) dan LUAS (Lembaga Urus Air Selangor) juga mengoptimumkan langkah kawalan dan pencegahan 24 jam bagi menangani kes ini," ujar beliau.
Mengulas mengenai kes pencemaran bau pada Isnin hingga menyebabkan LRA dihenti tugas membabitkan sebuah kilang pemprosesan plastik di Kuang, Jamaliah berkata, agensi kerajaan terlibat baharu sahaja selesai menjalankan siasatan di tapak kejadian.
Ujar beliau, setiap agensi akan melakukan perbincangan dalaman terlebih dahulu sama ada pesalah boleh didakwa atau disiasat mengikut enekmen agensi masing-masing.
"Pada minggu depan juga kita akan mengadakan mesyuarat bersama agensi berkaitan bagi mengetahui perkembangan terkini mengenai kes tersebut," tambah beliau. - Sinar Harian
#Selangor #pencemaran air #gangguan bekalan air #Air Selangor