Selangor kekal larangan guna khidmat imam luar untuk solat tarawih

Bernama
Februari 24, 2025 17:25 MYT
Larangan itu selari dengan arahan dikeluarkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sejak 2015. - Bernama
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mengekalkan larangan menggunakan khidmat imam dari luar negara untuk mengimamkan solat tarawih di semua surau dan masjid di negeri ini sepanjang Ramadan, dan mencadangkan pengurusan masjid atau surau mengutamakan huffaz tempatan.
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata larangan itu selari dengan arahan dikeluarkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sejak 2015.
Beliau berkata bagi jemputan penceramah, perkara itu tertakluk kepada senarai individu yang diberikan tauliah sedia ada oleh pihak berkuasa agama negeri.
"Jika ada sebarang ketidakpatuhan, boleh laporkan secara terus kepada saya, tapi saya harap semua pihak mematuhi peraturan dan jangan mempolitikkan isu tidak sepatutnya," katanya ketika ditemui di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.
Sebelum ini media melaporkan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata masjid dan surau di negeri itu dilarang menggunakan imam import dari negara luar untuk mengimamkan solat tarawih sepanjang Ramadan.
-- BERNAMA
#solat tarawih #Ramadan #imam luar #Selangor #larangan
;