Selangor juara bina rumah mampu milik - Amirudin

Bernama
September 22, 2023 20:34 MYT
Amirudin berkata 5,000 unit lagi rumah bakal disiapkan hujung tahun ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Selangor berjaya membina 40,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun sejak 2018, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata 5,000 unit lagi rumah bakal disiapkan hujung tahun ini.
Katanya susulan itu, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengiktiraf Selangor sebagai juara dalam penyediaan dan penyiapan rumah dalam negara susulan berjaya membina 40,000 unit rumah mampu milik sejak 2018.
"Insya-Allah dalam penggal ini kita yakin dengan semua projek, yang ketika pandemik kita tahu ada masalah tertentu tapi kita ambil peluang itu untuk memberi ruang kepada projek idaman dan harapan sebagai contoh supaya pemaju tidak melepaskan rumah-rumah mampu milik yang sebenarnya harus disubsidi daripada pinjaman harga bebas," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Pangsapuri Selangorku @ Seri Temenggung di sini hari ini.
Beliau juga berkata menjelang tahun 2025 ke 2026 lebih banyak unit rumah akan dibina.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Suhaimi Kasdon dalam ucapannya berkata kerjasama antara PKNS dengan syarikat pembinaan Rexpoint Resources Sdn Bhd iaitu syarikat bersekutu Kumpulan Melati Ehsan termeterai bermula 2017.
"Bukti komitmen kami untuk membantu rakyat dan para pelanggan bagi membina perjalanan kehidupan baharu dalam memperkasa ekonomi keluarga secara mikro dan ekonomi negeri secara makro yang lebih baik dan maju.
"Konsep reka bentuk dan pemilihan lokasi yang dilihat amat strategik dengan kemudahan rangkaian jalan raya utama perbandaran yang penting seperti Lebuh Utama Seri Gombak, MRR2 dan DUKE selain berdekatan dengan pelbagai kemudahan awam di sekitarnya semestinya menjadi kelebihan saingan kepada pemilik dengan kemudahan yang disediakan serta nilai hartanah yang dijangka meningkat di masa hadapan," katanya.
Pasangan suami isteri Mohd Adam Abdullah, 69, dan Nik Norizan Iberahim, 63, ketika ditemui melahirkan rasa syukur kerana penantian untuk mendapatkan rumah akhirnya menjadi kenyataan.
"Tunggu rumah ni lama jugak lebih kurang lapan tahun. Bagi golongan yang kurang berkemampuan (B40) seperti kami, harga rumah ini sangat berpatutan dan berterima kasih kepada kerajaan hari ini kerana membantu kami yang di bawah kemampuan ini," katanya.
Perasaan gembira itu juga dikongsikan seorang lagi pembeli Nurliyana Yahya, 31, yang sedang giat melakukan pengubahsuaian rumah.
"Saya berasa sangat gembira sebab hampir tiga tahun juga tunggu. Sebelum ni sewa dekat luar bila sudah dapat memang gembira sebab tak perlu menyewa lagi," katanya.
-- BERNAMA
#rumah mampu ilik #projek idaman #KPKT #PKNS
;