Selangor jangka 8,000 tetamu hadir Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina

Ehsan A Marisah
Januari 16, 2023 18:31 MYT
Chang Khim (tengah) berkata, pelbagai pengisian menarik akan disajikan kepada mereka yang hadir Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina peringkat negeri Selangor. - Foto Facebook Invest Selangor Bhd
KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Selangor menjangkakan kehadiran kira-kira 8,000 tetamu ke Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina peringkat negeri yang diadakan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 28 Januari ini.
Exco Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian, Industri kecil dan Sederhana Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, pelbagai pengisian menarik akan disajikan kepada mereka yang hadir bermula dari 3.30 petang hingga 10.30 malam.
Kata Chang Khim, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dijangka berkenan menghadiri sambutan berkenaan, selain akan turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta isteri, barisan Exco Kerajaan Negeri, ketua-ketua jabatan serta wakil kedutaan.
Katanya, pelbagai persembahan kebudayaan ditampilkan seperti wayang kulit, gendang, tarian, opera, pertandingan kaligrafi termasuk gerai jualan dan jamuan makan.
“Dalam program yang bertemakan ‘Musim Bunga Kembali ke Khatulistiwa’, saya berharap seni tradisional seperti kaligrafi dan kraf tangan akan memberi peluang kepada para hadirin untuk merasai semula suasana cara menyambut Tahun Baharu Cina secara yang tradisional.
“Pada tahun lepas, acara sambutan perayaan Tahun Baharu Cina peringkat negeri Selangor telah diadakan secara atas talian dan disiarkan melalui media sosial berikutan era pasca pandemik.
“Dengan adanya sambutan perayaan ini adalah diharapkan dapat merapatkan lagi hubungan di antara pemimpin dengan masyarakat khususnya di negeri Selangor serta memupuk persefahaman dalam masyarakat di negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum dan menganuti pelbagai agama,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau menambah, kerajaan negeri Selangor melalui sistem dompet elektronik Wavpay juga akan menyediakan 2,000 angpau elektronik bernilai RM10,000 secara keseluruhan.
“Para tetamu yang memuat turun aplikasi dompet elektronik Wavpay, berpeluang memenangi angpau dan juga sepuluh hadiah barangan elektronik yang bernilai RM3,000 secara keseluruhan.
“Beberapa lokasi parkir kenderaan berbayar yang berdekatan dengan tapak lokasi boleh digunakan oleh para pelawat pada hari kejadian iaitu di tempat letak kenderaan SACC Mall; Plaza Alam Sentral; sebelah bangunan PKPS dan bersebelahan Menara Maybank.
“Kemudahan bas Smart Selangor bernombor SA01 dan SA02 juga boleh digunakan untuk ke Dataran Kemerdekaan,” ujarnya.
Tahun lalu, sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri Selangor diadakan secara dalam talian dan disiarkan melalui media sosial berikutan era pascapandemik.
#Tahun Baharu Cina #Teng Chang Khim #Sultan Selangor #Amirudin Shari
;