Selangor hantar bantuan banjir ke Johor esok - Amirudin

Bernama
Mac 3, 2023 22:32 MYT
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata 'Misi Bantuan Kita Selangor Penyanyang' ke Johor telah diluluskan dalam Mesyuarat Exco, hari ini. - Gambar fail
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan menghantar bantuan meliputi barangan keperluan asas dan makanan bagi membantu mangsa banjir di Johor, esok.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata 'Misi Bantuan Kita Selangor Penyanyang' ke Johor telah diluluskan dalam Mesyuarat Exco, hari ini.
"Misi pertama bermula esok dengan penghantaran barang keperluan asas seperti makanan dan kit kebersihan ke Depoh Simpanan Keperluan Bencana, di Muar, Johor.
"Doa buat sekalian rakyat Negeri Johor akan dipelihara dan diberi kemudahan menghadapi ujian ini," katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini.
Sementara itu, kerajaan Johor mengalukan-alukan bantuan daripada Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri yang tidak terjejas banjir bagi membantu negeri itu yang kini berhadapan dengan angka mangsa banjir yang luar biasa.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan kesemua agensi yang terlibat kini sedang berhempas pulas membantu susulan banjir melanda negeri tersebut dengan lebih 34,000 mangsa terjejas melibatkan semua 10 daerah.
Setakat 8 malam ini, jumlah mangsa banjir di Johor terus meningkat kepada 34,849 orang berbanding 32, 870 orang pada 4 petang tadi, meskipun banjir di daerah Kulai surut sepenuhnya.
Ia berikutan terdapat peningkatan mangsa di beberapa daerah sekali gus menyaksikan pembukaan 10 lagi pusat pemindahan sementara (PPS), menjadikan jumlah keseluruhan 225 PPS beroperasi di sembilan daerah, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).
-- BERNAMA
#Misi Bantuan Kita Selangor Penyanyang #banjir johor #bantuan barangan keperluan asas #Amirudin Shari
;