Selangor di peringkat akhir kajian penggunaan teknologi mesra alam tangani pencemaran air
Bernama
November 23, 2020 05:41 MYT
November 23, 2020 05:41 MYT
SHAH ALAM: Selangor sedang dalam peringkat akhir membangunkan kaedah berteknologi tinggi yang mesra alam bagi memperkasakan usahanya menangani isu pencemaran sungai di negeri itu.
Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor Ir Izham Hashim berkata teknologi dibangunkan dengan kerjasama syarikat swasta dan seorang pakar air tempatan itu akan memanfaatkan mikroorganisma yang hidup dalam air bagi mempercepatkan pemulihan air di sungai tercemar.
"Dengan teknologi ini, pakar-pakar kami telah mengenal pasti mikroorganisma yang hidup di sungai berkenaan.
"Melalui proses tertentu, kita akan menambah jumlah mikroorganisma itu untuk ia bertindak sebagai penapis kepada bahan tercemar dan meningkatkan jumlah oksigen di dalam air sekali gus membersihkan air sungai berkenaan.
"Kita telah mencuba teknologi ini di loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium di Rawang dan dalam seminggu kita boleh lihat perubahan ketara pada warna air dan bau.
"Malah melalui teknologi tersebut, kandungan oksiden terlarut juga didapati meningkat dan ini akan membantu meningkatkan hidupan air dalam sungai.
"Kini kita sedang menunggu laporan makmal terakhir dan jika berjaya, kita akan menggunakan teknologi ini dalam merawat air sungai di Selangor. Ini secara langsung akan mengurangkan kos untuk merawat air bagi kegunaan pengguna," katanya dalam program bual bicara bertajuk 'Pencemaran Air: Siapa Buat Onar' disiarkan secara langsung di laman Facebook Media Selangor malam tadi.
Turut menjadi panelis dalam program bual bicara itu ialah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai dan Pantai, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Haslina Amer.
Pada masa sama kata Izham, kerajaan negeri juga berdepan cabaran besar dalam menangani isu pencemaran sungai berikutan jumlah industri dan kilang yang banyak di dua lembangan sungai utama di Selangor iaitu lembangan Sungai Selangor dan Sungai Langat.
Katanya, kira-kira 6,000 kilang didirikan di lembangan Sungai Selangor manakala dianggarkan 8,000 kilang serta industri di sekitar lembangan Sungai Langat yang kesemuanya beroperasi secara berlesen.
Namun jelas Izham, pencemaran air yang terjadi bukan secara terus ke dalam sungai tetapi menerusi pembuangan sisa kimia di longkang, lurang kumbahan serta pada anak-anak sungai jauh dari lokasi industri menjadi antara cabaran perlu dihadapi kerajaan negeri Selangor.
-- BERNAMA
#Sungai Selangor
#pencemaran air
#kaedah berteknologi tinggi
#mesra alam
#izham hashim
#IWK
#Rawang
#Loji Rawatan Kumbahan
#mikroorganisma
#LUAS
#Air Selangor
#kilang
#lesen
#longkang
#sisa kimia
#pembuangan sisa
#Sungai
#sungai langat
#pemulihan air
#Kajian