Selangor dan KL kekal dalam Fasa 1 PPN - Ismail Sabri

Astro Awani
Julai 17, 2021 20:43 MYT
Ismail Sabri juga memaklumkan, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pengusaha sektor ekonomi terutamanya kilang-kilang yang tidak mematuhi SOP atau mengingkari arahan kerajaan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Selangor dan Kuala Lumpur kekal dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) biarpun kerajaan telah menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua negeri berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan nilai ambang tiga indikator utama di Selangor dan Kuala Lumpur perlu dicapai sebelum beralih ke Fasa 2.
"Nilai ambang vaksinasi 10 peratus populasi dewasa sudah dicapai tetapi kes masih tinggi manakala tahap penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) masih kritikal.
"PKPD akan dikenakan ke atas lokaliti-lokaliti yang merekodkan trend peningkatan kes COVID-19 yang mendadak," katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.
Pada Jumaat, kerajaan mengumumkan penamatan PKPD di 34 mukim di Selangor dan 14 lokaliti di ibu negara bermula tengah malam tadi selepas dilaksanakan bermula 3 Julai lalu hingga semalam.
BACA: PKPD di 34 mukim di Selangor ditamatkan hari ini
Selain itu, Ismail Sabri juga memaklumkan, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pengusaha sektor ekonomi terutamanya kilang-kilang yang tidak mematuhi SOP atau mengingkari arahan kerajaan.
Tegas beliau, Op Patuh di bawah Kementerian Dalam Negeri akan dipergiatkan lagi bagi memastikan pematuhan tinggi oleh premis perniagaan dan kilang.
Op Patuh yang dilaksanakan juga bertujuan meningkatkan kesedaran majikan dalam memastikan keselamatan dan kebajikan pekerja sentiasa dijaga serta terpelihara sekiranya diberi kebenaran beroperasi oleh kerajaan.
Ismail Sabri juga meminta pekerja melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya majikan mengambil tindakan beroperasi tanpa kebenaran atau tidak menyediakan tempat kerja yang mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
#Selangor #Kuala Lumpur #Fasa 1 #Pelan Pemulihan Negara #PPN #nilai ambang #PKPD #ismail sabri yaakob
;