Selangor catat jenayah seksual tertinggi di Malaysia
Sinar Harian
Mei 15, 2024 15:15 MYT
Mei 15, 2024 15:15 MYT
SHAH ALAM: Selangor mencatatkan kes jenayah seksual tertinggi dalam tempoh tiga tahun di negara ini.
Kes yang direkodkan termasuk cabul, sumbang mahram, luar tabii, pornografi kanak-kanak dan komunikasi secara seksual.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, statistik itu dicatatkan berdasarkan faktor populasi penduduknya yang tinggi berbanding negeri lain.
"Kedudukan Selangor yang bersempadan dengan beberapa negeri misalnya Perak, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Pahang menjadi salah satu penyumbang kepada jenayah ini diikuti Johor.
"Capaian sistem jaringan internet yang mudah selain banyak kemudahan dari segi fasiliti dan kepadatan penduduk selain faktor ekonomi mendorong kepada peningkatan angka jenayah seksual ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas sesi dialog bersama masyarakat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Rabu.
Siti Kamsiah berkata, kebanyakan kes yang direkodkan melibatkan warga tempatan iaitu sebanyak 90 peratus.
"Bagaimanapun ada juga kes yang melibatkan warga asing.
"Misalnya kes cabul seperti di stesen minyak, pengangkutan awam melibatkan warga asing yang menetap di sini selain ada sesetengah kes berkaitan pelancong tapi dari segi peratusan tertinggi adalah warga tempatan," katanya.
Jelasnya, kebanyakan kes melibatkan jenayah seksual ini adalah dalam kalangan mereka yang dikenali.
"Sesiapa sahaja berpotensi menjadi pemangsa, kebanyakan pelaku dikenali mangsa sama ada ahli keluarga, rakan-rakan dan orang yang diberikan amanah seperti guru.
"Bagaimanapun penjenayah seksual sukar diketahui menerusi rupa paras atau perwatakannya serta mudah menarik kepercayaan mangsa," katanya.
Menurutnya, B40 antara golongan tertinggi yang terlibat dalam jenayah seksual ini berdasarkan statistik yang direkodkan dalam tempoh berkenaan.
"Kita lihat secara keseluruhan disebabkan keadaan ekonomi golongan ini yang tidak stabil selain faktor tidak bekerja dan kurangnya pendidikan.
"Aspek ekonomi ini membawa kepada masalah tekanan perasaan dan memberi kesan dalam hubungan emosi dan kurangnya didikan dalam konteks keibubapaan," katanya. - Sinar Harian