Selangor bina infrastruktur salur air mentah dari kolam secara sistematik - Exco
Bernama
Februari 4, 2023 05:48 MYT
Februari 4, 2023 05:48 MYT
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menerusi inisiatif Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) akan membina infrastruktur khas bagi mengalirkan sumber air mentah dari kolam secara lebih sistematik ke Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sebagai usaha menangani masalah kualiti dan kuantiti sumber air.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Pertanian negeri Izham Hashim berkata kemudahan tersebut merangkumi pemasangan pam berkapasiti 3,000 juta liter sehari (JLH), pembinaan rumah pam, paip air mentah dan struktur pintu air boleh laras yang dikawal secara automatik di Sungai Selangor.
Katanya projek berbentuk langkah jangka masa panjang jaminan sumber air kepada ketiga-tiga negeri itu dijangka siap akhir tahun ini dan membolehkan air terus dapat dibekalkan walaupun terdapat permasalahan kualiti sumber air mentah.
"SJAM adalah antara langkah penyelesaian bagi insiden pencemaran sungai dan kekurangan air mentah dari hulu sehingga ke hilir sungai yang merangkumi komponen antaranya; hukuman pesalah yang lebih berat melalui Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) 1999 pindaan 2020.
"Ia juga meliputi pemantauan dan pengawasan 24 jam melalui Skuad Pantas LUAS di kawasan sensitif sumber air di Lembangan Sungai Selangor dan Sungai Langat, pengepaman sumber air mentah alternatif dari kolam takungan Sistem Peningkatan Hibrid Pinggir Sungai (HORAS) 600 di Sungai Selangor dan Kolam Takungan (Pond C) di Sungai Semenyih," katanya dalam kenyataan semalam.
Sementara itu Izham berkata pengaktifan segera SJAM berjaya menghalang henti tugas di tiga loji rawatan air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2) dan Fasa 3 (SSP3) pada 7 pagi, Khamis lepas selepas Syarikat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengesan permasalahan kualiti air mentah berpunca daripada peningkatan ammonia (AN) di lokasi tersebut.
Katanya air mentah alternatif dipam ke Sungai Selangor daripada HORAS 600 sebanyak 500 JLH dengan jarak 2 kilometer (km) dan sejam perjalanan aliran ke muka sauk LRA, diikuti dengan penyaluran air kolam alternatif KL Larut sebanyak 384 JLH secara graviti dengan jarak 3km dan 1.5 jam perjalanan aliran.
"Pengepaman air mentah alternatif ini bertujuan untuk meningkatkan kadar pencairan sungai dan mengekang kepekatan AN. Pintu baraj di LRA juga diturunkan oleh pihak Air Selangor bagi mempercepatkan aliran tercemar mengalir melepasi muka sauk LRA.
"Sehingga pagi ini, sebanyak 516 juta liter air mentah alternatif telah disalurkan ke Sungai Selangor serta berjaya mengawal dan mengekang pencemaran tersebut," katanya.
-- BERNAMA