Selangor bersedia laksana sidang DUN secara hibrid - Amirudin

Bernama
Julai 20, 2021 16:43 MYT
Amirudin berkata ujian saringan COVID-19 kepada yang akan terlibat dengan persidangan DUN bakal dijalankan dalam jangka masa terdekat. - Gambar fail
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor sedia mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) secara hibrid sekiranya situasi COVID-19 sukar dikawal khususnya dengan penularan varian baharu COVID-19 dalam negara.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata jika terdapat keperluan bagi tujuan itu, beliau akan mengusulkan pindaan akta atau enakmen atau meminda peraturan dewan yang berkaitan di awal persidangan secara fizikal supaya persidangan secara hibrid dapat dilaksanakan secara sah.
"Selepas pindaan diluluskan, kita akan meneruskan sidang DUN secara hibrid dalam usaha kita untuk mengelakkan perebakan COVID-19," katanya kepada Bernama.
Amirudin berkata ujian saringan COVID-19 kepada yang akan terlibat dengan persidangan DUN bakal dijalankan dalam jangka masa terdekat selain hanya petugas sidang DUN serta pengamal media yang lengkap menerima dua dos vaksin sahaja dibenarkan bertugas di sana.
Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata kerajaan negeri juga selesai menjalankan satu sesi libat urus bersama Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan serta pembangkang yang dijalankan secara webinar bagi membincangkan perkembangan inisiatif Pakej Kita Selangor.
Beliau berkata perbincangan itu juga turut melibatkan kemungkinan pindaan kepada belanjawan negeri terutamanya jika melibatkan pertukaran peruntukan sesebuah agensi.
Media sebelum ini melaporkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan pembukaan sidang DUN Selangor yang mula bersidang pada 23 Ogos hingga 6 Sept depan.
Menurut Amirudin, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah juga telah memberi perkenan baginda bagi tujuan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Selangor Ke-14 Tahun 2021 dan turut berkenan berangkat serta mencemar duli merasmikan Istiadat Pembukaan sidang DUN pada Isnin, 23 Ogos depan.
Sidang dewan kali ini mengikut format sidang biasa yang mempunyai sesi soal jawab dan perbahasan dan bukan sekadar sidang khas dengan kawalan tatacara pengendalian piawai dan memfokuskan kepada usaha kerajaan negeri menangani penularan wabak COVID-19, katanya.
-- BERNAMA
#Selangor #sidang dun #hibrid #Menteri Besar #Amirudin Shari #COVID-19 #Varian Delta
;