Selangor Aviation Show 2023: Rapatkan jaringan industri, cipta peluang pekerjaan

Irfan Faruqi
September 7, 2023 19:17 MYT
Amirudin (dua, kanan) ketika gimik perasmianSelangor Aviation Show 2023 di sini hari ini. - Foto Bernama
SUBANG: Hampir 50 kapal terbang bakal dipamer, 33 forum dan perkongsian bersama 65 panel jemputan menanti pengunjung di Selangor Aviation Show (SAS) 2023 yang berlangsung bermula hari ini hingga 9 September.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata SAS 2023 bukan sahaja platform bagi merapatkan jaringan pemain industri, bahkan ia juga dimanfaatkan untuk mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
"Boeing menjangkakan dengan peningkatan trafik udara, industri aeroangkasa memerlukan lebih 790,000 juruterbang dan lebih 754,000 juruteknik untuk 20 tahun akan datang. Ini bermakna lebih 1.5 juta peluang pekerjaan bakal ditawarkan untuk dua sub-sektor penerbangan ini.
"Dengan peningkatan populasi dan urbanisasi, cabaran untuk menawarkan peluang pekerjaan berterusan dengan gaji bermaruah akan menjadi fokus utama Kerajaan Negeri dalam penggal ini.
"Oleh yang demikian, kita mahu silibus pendidikan, khususnya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selari dengan keperluan dan kehendak industri penerbangan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan SAS 2023 di sini, hari ini.
Amirudin menjelaskan Selangor merupakan negeri pilihan bagi pemain industri dengan 67 peratus syarikat aeroangkasa dalam negara beroperasi di negeri berkenaan.
Menurutnya, SAS 2023 menjangkakan nilai potensi transaksi antara peserta mencecah sehingga RM700 juta sepanjang minggu ini.
Untuk rekod, pada tahun sebelumnya SAS berjaya mencatatkan transaksi bernilai RM1.069 bilion.
Bertemakan "The Only Business & General Aviation Show in the Region", SAS 2023 menawarkan pengalaman menguji dan menyaksikan inovasi, teknologi serta perkembangan terkini dalam industri penerbangan.
Edisi ketiga pameran ini juga turut disertai oleh 119 syarikat tempatan dan antarabangsa termasuk Amerika Syarikat, Perancis, Denmark, Singapura, Australia dan Hong Kong.
#Amirudin Shari #Selangor Aviation Show 2023
;