Selangor akan laksanakan parkir digital sepenuhnya mulai Januari 2022

Bernama
Mac 9, 2021 16:53 MYT
Kerajaan negeri bercadang untuk menamatkan penggunaan kupon parkir manual pada 31 Disember 2021. - Gambar hiasan
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan melaksanakan pembayaran parkir secara digital melalui aplikasi yang dibangunkan dengan kerjasama Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) bermula 1 Januari 2022, sekali gus menamatkan penggunaan kupon parkir manual, pada 31 Disember 2021.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Negeri Selangor Ng Sze Han berkata bagaimanapun sistem ejen e-parkir akan disediakan sebagai alternatif kepada orang awam yang tidak mempunyai telefon pintar atau aplikasi parkir digital.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Selangor melalui anak syarikat iaitu SSDU telah membina dan melancarkan sistem aplikasi tempat letak kereta, Smart Selangor Parking (SSP) yang boleh dimuat turun menggunakan telefon pintar dan ia telah diseragam dan diguna pakai di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor.
"Pada masa ini, pengguna aplikasi SSP berdaftar sudah melebihi 1.5 juta orang dan melalui penggunaan sistem aplikasi SSP, ia juga dapat menjimatkan sejumlah 634,994 kilogram kertas," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Selain itu, Ng berkata Kerajaan Selangor bercadang mewujudkan kaedah petak parkir hot zone di kawasan tumpuan awam dengan meletakkan had masa maksimum bagi setiap tempahan.
"Sebagai contoh, petak parkir hot zone tidak boleh melebihi tempoh dua jam. Kaedah ini adalah untuk memberi kemudahan kepada pengguna lain mendapatkan petak parkir di kawasan yang sibuk dan padat," katanya menambah hot zone dikenal pasti akan dilaksanakan di Taipan USJ, Subang Jaya.
Beliau berkata petak parkir hot zone akan diberi nama yang lebih sesuai serta mesra pengguna dan akan mula dikuatkuasakan setelah pindaan ke atas Jadual di dalam Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) yang diguna pakai oleh PBT Negeri Selangor diwartakan.
-- BERNAMA
#kerajaan negeri #Selangor #pembayaran parkir #parkir digital #sistem digital #Smart Selangor Delivery Unit #SSDU #kupon manual #telefon pintar #aplikasi
;