Selangor agih lebih 100,000 Jalur Gemilang

Bernama
Ogos 13, 2024 14:05 MYT
Amirudin berkata agihan secara percuma itu dibuat melalui PBT dan 56 pusat khidmat masyarakat DUN Selangor. - Gambar fail/Bernama
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor giat mengagihkan lebih 100,000 Jalur Gemilang ke seluruh negeri itu bagi menyemarakkan lagi Kempen Kibar Jalur Gemilang 2024 sempena sambutan Bulan Kebangsaan.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata agihan secara percuma itu dibuat melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) dan 56 pusat khidmat masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
"Kita harap penduduk setempat dapat memasang bendera yang diberikan ini untuk menaikkan lagi semangat patriotik dalam kalangan rakyat terutama menjelang sambutan kemerdekaan negara.
"Semangat patriotisme dan sayang negara ini mengatasi politik. Jadi mari sama-sama meriahkan sambutan Hari Kebangsaan ini dengan kibaran bendera negara," katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) 2024 di Dewan Raja Muda Musa di sini hari ini.
Amirudin berkata selain PBT dan pusat khidmat masyarakat DUN, pihaknya menyarankan semua anak syarikat milik kerajaan negeri bersama-sama mengagihkan Jalur Gemilang kepada para pekerja untuk mereka kibarkan atau pamerkan di pejabat dan lokasi lain yang bersesuaian.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 menggesa semua lapisan rakyat termasuk sektor swasta untuk mengangkat semangat kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang di premis kediaman dan pejabat masing-masing.
-- BERNAMA
#Jalur Gemilang #Hari Kebangsaan #premis kediaman #pbt